Badrila Jamlus
jbad@hmetro.com.my


Sempena penganjuran terakhir Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan model terbaru Mercedes-AMG E 63 S 4MATIC+, kereta berenjin V8 paling berkuasa dalam segmennya.

Kehadiran model itu sebagai tambahan dalam senarai koleksi kereta impian Mercedes-Benz dengan menampilkan gaya pemanduan berprestasi dan menawarkan pelanggan rekaan yang menonjol.

Model E-Class paling berkuasa sepanjang zaman itu ditawarkan pada harga atas jalan termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa insurans iaitu RM998,888.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang MBM, Mark Raine berkata, generasi terkini E 63 S menyaksikan Mercedes-AMG memperkenalkan beberapa pembangunan baru yang memacu prestasi sebuah limosin menerusi gabungan kejuruteraan rangkaian kuasa dan prestasi maksimum.

Beliau berkata, model itu turut menggabungkan rekaan termaju, kelengkapan eksklusif dan ciri infortainmen terkini untuk aplikasi ketersambungan multimedia yang komprehensif.

“E 63 S menawarkan pelanggan rekaan yang menonjol dengan penyampaian kuasa terbaik bagi enjin V8 turbo berkembar daripada Affalterbach,” katanya ketika melancarkan model itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Model terbaru Mercedes-AMG itu menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan pengecas turbo dan suntikan terus yang mampu menghambur 612 kuasa kuda (hp) pada 5,750 hingga 6,500rpm, manakala tork maksimum 850Nm pada 2,500 hingga 4,500rpm.

Ia turut dipacu dengan sistem pemanduan AMG Performance 4MATIC+ pemanduan semua roda kekal dengan pengedaran tork pemboleh ubah dan mod drift.

Selain itu, ia dipadankan transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9-kelajuan sports dan mampu memecut 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.4 saat manakala kelajuan maksimum pula 250km/j.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:08 AM