NISSAN NV350 Urvan dengan ciri keselamatan dipertingkatkan.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mempertingkatkan ciri keselamatan terbaru bagi model popular Nissan NV350 Urvan (High Roof).

Antara ciri dipertingkatkan termasuk pelaras manual lampu utama dan lampu kabus belakang yang menambah baik tahap pandangan ketika pemanduan waktu malam.

Sementara pengehad kelajuan turut dipasang untuk memastikan had kelajuan 100km/j untuk kenderaan penumpang melebihi 12 tempat duduk dipatuhi.

Turut ditambah baik penutup tangki dengan kunci untuk menghalang risiko kebakaran.

Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, Nissan NV350 Urvan adalah model pengangkut penumpang yang sangat popular kerana kemampuannya membawa sehingga 14 individu, selain sifatnya yang tahan lasak dan boleh dipercayai.


RUANG dalaman selesa untuk 14 penumpang.

“Kenderaan ini menyokong pelbagai jenis perniagaan. Kami yakin ciri keselamatan baru pada Nissan NV350 Urvan boleh meningkatkan kejayaan perniagaan pelanggan kerana dapat membawa lebih ramai penumpang.

“Prestasi Nissan NV350 Urvan yang berkuasa dan menjimatkan itu datang daripada enjin pengecas turbo 2.5L dengan teknologi diesel bersih dan dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan untuk penjimatan bahan api mengagumkan,” katanya.

Christopher berkata, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantuan Brek (BA), lampu berhenti yang dipasangkan pada posisi lebih tinggi dan kunci keselamatan kanak-kanak adalah ciri keselamatan standard.

“Zon Binaan Badan (ZBC) Nissan pula memaksimumkan perlindungan penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

“Nissan NV350 Urvan dijual pada harga RM122,000 termasuk GST tanpa insurans,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:05 AM