REKAAN serba baru tampil lebih sporty.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Menampilkan elemen sporty dan kemewahan, Peugeot 3008 serba baru dilancarkan untuk pasaran tempatan minggu lalu, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) paling maju dalam kelasnya.

Ia memenangi Anugerah Kereta Tahunan Eropah 2017 pada Pameran Motor Geneva baru lalu serta Anugerah Grand Prix untuk Rekaan Dalaman Terbaik 2016 pada Festival Automotif Antarabangsa ke-32 dan pelbagai pengiktirafan lain.

Dijana enjin 1,598cc Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) dengan Suntikan Petrol Terus, DOHC, 16 injap serta Pemasaan Injap Boleh Ubah (VVT) mampu menghasilkan kuasa 167PS pada 6,000rpm dan tork sehingga 240Nm daripada 1,400rpm.

Kotak gear transmisi enam kelajuan automatik dengan Tiptronic dan mod sport menjanjikan kepuasan serta keseronokan memandu, kalau tidak, boleh juga menggunakan pedal penginjak (pedal shifter).

Penggunaan bahan api dicatatkan sekitar tujuh liter untuk setiap 100 kilometer (km) dan kelajuan maksimum sekitar 211km/sejam (j) menjadikan ia efisien dan terbaik dalam kelasnya.

Rekaan luaran lebih sporty dengan saiz ukuran 4,447 milimeter (mm) panjang dan 1,841mm lebar dilengkapi Sistem Pencahayaan Terkini Bi-Xenon Dinamik dibaluti elemen krom dengan pelarasan terarah dan ketinggian secara automatik.

Lampu belakang LED menampilkan gaya ‘signature’ umpama tiga cakaran terapung dan padanan rim aloi jenis Los Angeles Shiny Haria Grey bersaiz 18 inci menyerlahkan gaya.

Ruang dalaman bergaya dan mewah. Model ini ditawarkan dengan Peugeot i-Cockpit generasi terbaru pada papan pemuka gabungan fabrik serta bahan berkualiti tinggi.

Roda stereng yang kompak dengan pelbagai ciri dan fungsi ditambah skrin Head-Up Display (HUD) bersaiz 12.3 inci di hadapan pemandu pula memaparkan pandu arah, kelajuan, jarak perjalanan, bantuan parkir depan dan belakang daripada kamera undur.

Ciri keselamatan terbaik disediakan dengan enam beg udara, Program Keselamatan Elektronik (EBD), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Pengawalan Anti-Gelinciran (ASR), Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) dan Kawalan Cerun Bantu Bukit (HADC) meningkatkan kawalan pemanduan ketika laluan sukar.

Dua varian dibawa dalam lima pilihan warna menarik iaitu Metalik Cooper, Biru Magnetic, Kelabu Amazonite, Merah Ultimate dan Putih Pearl dengan harga bermula daripada RM142,888 untuk Active serta RM155,888 (Allure) bersama waranti lima tahun atau 120,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 3:31 AM