VOLVO 121 diubah suai bentuk coupe.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my

Unik dan berbeza. Demikian gambaran sebuah Volvo 121 keluaran 1966 milik Jamil Sujak, 49, dari Johor yang dipertonton di Art Of Speed, baru-baru ini.

Selain rupa yang berbeza dengan pelbagai komponen kustom, nadi jentera yang digunakan cukup memukau.

Apa yang menarik mengenai jentera ini? Bermula dengan rupa luaran, jentera asal empat pintu ini dikustom dan diubah suai secara maksimum menjadi sebuah Volvo coupe dua pintu.

Bentuknya menenggelamkam ciri-ciri asal jentera apabila mengenakan bonet binaan khas yang unik dan lebih pendek manakala jejaring hadapan jentera turut dikustomkan.

Selain itu, perumah lampu juga dibina khas dan terselit sepasang lampu xenon di dalamnya. Lebih menonjolkan identiti apabila menggunakan rim Sugaray 18 inci yang menaikkan lagi imejnya.

Di bawah bonet terselit enjin 1UZFE VVTI yang kebiasaannya digunakan pada jentera Lexus LS400 atau Toyota Crown Majesta bersesaran 4,000cc dengan kekuatan 295hp.

Selain itu, sistem suspensi turut diubah suai pemilik menggunakan sistem suspensi udara di mana kadar ketinggian dan kerendahan jentera mampu dikawal dengan hanya menekan butang khas.

Sudut dalam juga berbeza dan diubah suai keseluruhannya dengan tempat duduk disalut material semi kulit serta kotak konsol kustom.

Lebih memukau apabila stereng Sparco yang terpampang di sudut pemanduan dibina khas menggunakan sistem teleskopik. Bahagian papan permukaan terselit beberapa buah meter dan butang kawalan pelbagai fungsi.

But yang menempatkan tangki minyak asal juga diubah suai dan diselitkan di bawah but itu bersama kompresor sistem suspensi udara.

Ketika ditanya mengenai kos jentera, pemilik yang juga Pengarah Urusan JZ Engineering and Services enggan mendedahkannya atas sebab tersendiri.

INFO

VOLVO 121 TAHUN 1966

• Kustom lining besi tahan karat

• Lampu hadapan xenon kustom

• Bonet/but rendah Kustom 250mm

• Suspensi udara sepenuhnya

• Kerusi semi kulit dengan kotak konsol kustom

• Stereng Sparco Teleskopik

• Enjin V8 1UZFE VVTI 4000cc 295hp

• Rim Suggaray saiz 18 inci

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:00 AM