HONDA CX500 ‘Fireant’ menggoda.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmero.com.my

Gaya menggoda dan memukau Honda CX 500 yang berkonsepkan cafe racer yang ditonjolkan di Art Of Speed (AOS) 2017 di MAEPS Serdang, Selangor pada 29 dan 30 Julai lalu, mencuri tumpuan ramai termasuk juri.

Jentera digelar ‘Fire Ant’ yang diilhamkan bengkel Rusty Factory (RF) dari Ipoh Perak, mengungguli Kategori Invitational dan People Choice membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM15,000.

Berikutan kecemerla­ngan dan keunikan jentera ini, sebuah laman web atau blog dari luar negara ‘pipeburn’ yang hanya memaparkan jentera kustom seluruh dunia turut memilih dan menganugerahkan jentera ini sebagai Favourite Bike Award.

Apa yang menarik tentang Fire Ant ini? Menurut pemilik bengkel RF, Muhamad Khalid Musa 30, jentera keluaran 1981 bersesaran 500cc ini hanya mengekalkan 20 peratus sahaja komponen asal manakala selebihnya dikustom dan dirojak dengan komponen motosikal lain.

Bermula dari kerangka, jentera ini hanya mengekalkan kerangka asal namun diubah suai untuk menempatkan enjin yang melalui proses ‘overhaul’ dan modifikasi.

Lebih menarik keseluruhan enjin dan komponen jentera ini melalui proses kemasan krom yang menyerlahkan imej klasik.

Seterusnya tangki minyak daripada Honda C200 dicantumkan pada jentera ini dengan sedikit pengubahsuaian pada bahagian bawah bagi menyesuaikan dengan kerangka asal.

Satu set tempat duduk tunggal binaan khas dipadankan manakala bahagian bawahnya tersemat penyerap hentak tunggal daripada Yamaha TZM.

Selain itu, penyerap hentak hadapan asal dikekalkan manakala hendal pemanduan kustom didatangkan dengan set lever brek.

Pemilihan rim dan tayar untuk Fire Ant ini turut mempengaruhi rupa bentuknya dan justeru itu pemilihan rim aloi bersaiz 18 inci dengan padanan tayar Firestone 18/400 bahagian hadapan dan 18/450 di belakang, menjadikan imej jentera cukup memukau.

Sebuah lampu hadapan kustom dengan warna ke­emasan yang dibina tanpa perumah menyerlahkan lagi gaya cafe racer yang ditonjolkan.

Difahamkan, jentera ini adalah jentera projek RF yang dikhaskan untuk AOS 2017 dan memakan masa lebih lima bulan untuk disiapkan.

Penyertaan RF kali ketiga di AOS ternyata membuahkan hasil dan menjadi kejayaan terbesar yang pernah dirangkul mereka selepas dua kategori itu diperkenalkan pada tahun ini.

Berikutan kejayaan itu, RF kini lebih bersemangat untuk membina jentera-unik dan futuristik bagi dipertontonkan kepada umum pada masa akan datang.

SPESIFIKASI:

Honda CX500 1981

- Enjin 500cc

- Kerangka asal diubah suai

- Tangki Honda C200

- Fork hadapan asal

- Enjin asal dinaik taraf

- Monoshock Yamaha TZM

- Tempat duduk tunggal binaan khas

- Lampu hadapan kustom

- Bar pemanduan binaan khas

- Brek lever kustom

- Rim Aloi 18

- Tayar Firestone 18/400 hadapan dan 18/450 belakang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:38 AM