WAJAH hadapan Nissan Grand Livina IMPUL baru.
AEROKIT menambah ciri agresif Nissan Grand Livina IMPUL baru.
RIM aloi IMPUL HS-10 diimport dari Jepun.
SISTEM suspensi talaan IMPUL.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan Nissan Grand Livina dengan pakej IMPUL baru, sekali gus menawarkan gaya lebih agresif dan garang.

Versi IMPUL yang dipertingkatkan itu hadir dengan spoiler bampar hadapan baru, lampu nyalaan siang (DRL) LED signatur IMPUL, skirting sisi, wing spoiler belakang dan bampar belakang.

Gaya dinamik ini ditingkatkan lagi menerusi gril hadapan hitam, tambahan pada arca roda dan rim aloi IMPUL HS-10 bersaiz 17 inci bersama kemasan krom serta warna hitam berkilat.

Penambahbaikan ini juga menyaksikan pemasangan sistem suspensi IMPUL berprestasi tinggi terdiri daripada penyerap hentak dan pegas gegelung yang direka untuk merendahkan kenderaan sebanyak 25mm bagi pengendalian lebih mantap dan selesa.

Peredam ekzos tahan karat dengan kemasan berkilat bersama logo IMPUL dipasang pada paip ekzos melengkapkan lagi penampilan Nissan Grand Livina.

Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, “Pemanduan Nissan Grand Livina IMPUL ibarat sedan sport tetapi bercirikan MPV. Oleh kerana kebanyakan MPV mengamalkan gaya Kenderaan Sukan Utiliti (SUV), kami percaya melalui konsep produk berbeza dengan menawarkan MPV bergaya anggun, sporty dan agresif juga boleh menjadi permintaan”.

Nissan Grand Livina IMPUL baru dipasang dari kilang dan ditawarkan dalam dua pakej iaitu IMPUL Complete Package serta IMPUL Premium Package.

Semua pakej aksesori ini hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km, yang mana terdahulu. Semua aerokit, suspensi dan peredam ekzos dilesenkan oleh IMPUL serta dihasilkan di Malaysia manakala rim aloi IMPUL HS-10 diimport dari Jepun.

Sementara itu, pemilik Nissan Grand Livina sedia ada yang berminat untuk membeli pakej IMPUL boleh menghubungi talian 03- 40478786 atau e-mel ke impul@tanchonggroup.com.my untuk maklumat lanjut. Orang ramai juga boleh melayari laman web www.impul.com.my untuk melihat lebih dekat pakej terbaru ini.

INFO

IMPUL PREMIUM PACKAGE (RM13,009 termasuk GST)

• IMPUL aerokit (merangkumi spoiler bampar hadapan, spoiler bampar belakang dan skirting sisi)

• Lampu nyalaan siang LED

• Gril hadapan sport berwarna hitam

• Tambahan pada arca roda

• Tempat duduk kulit (beige atau hitam)

• Perakam video pemanduan

• Filem keselamatan V-Kool

IMPUL COMPLETE PACKAGE (RM12,800 termasuk GST)

• IMPUL aerokit (merangkumi spoiler bampar hadapan, spoiler bampar belakang dan skirting sisi)

• Lampu nyalaan siang LED

• Gril hadapan sport berwarna hitam

• Tambahan pada arca roda

• Rim aloi IMPUL HS-10 17”

• Peredam ekzos IMPUL Blast 2

• Suspensi sports IMPUL

• Tayar Continental ContiMaxContact MC5 (205/45 R17)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 8:49 AM