MASIH kekal pelbagai komponen asal.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Dalam keluarga Honda, jika berbicara soal jentera ini pasti ramai memikirkan ia daripada model Integra. Namun ramai yang tidak tahu Prelude turut tergolong dalam varian Coupe yang mana beberapa model berbeza dikeluarkan mengikut tahun pembuatan.

Penulis percaya pasti ada dalam kalangan kita tidak pernah melihat Prelude Coupe generasi pertama yang dikeluarkan Honda.

Sedikit sejarah awal pembinaan jentera ini, kali pertama dilancarkan dalam pasaran Jepun pada 24 November 1978 dan seiring dengan pesaing hebat jentera coupe lain daripada Toyota Celica, Nissan Silvia dan Mitsubishi Eclipse.

Di Malaysia, untuk melihat jentera ini sebuah sekalipun cukup sukar berikutan ia wujud dan kekal terpelihara dalam kuantiti kecil dan amat sukar ditemui.

Di Pulau Pinang seorang pemilik berjaya mengekalkan dan memelihara jentera yang hampir dimamah usia ini dalam keadaan asli.

Muhammad Bilal Omar, 29, berkata jentera 1979 miliknya masih mengekalkan pelbagai komponen asal dan antara yang menyerlah adalah enjin asalnya EL14 yang bersesaran 1.6 liter masih kekal terpelihara rapi serta disulam dengan kemasan krom.

Langsung tiada penambahan atau ubah suai pada enjin termasuk kotak gear kelajuan yang masih berfungsi dengan cemerlang biarpun berusia 38 tahun.

Namun pemasangan ekzos binaan khas dengan saluran terus memberikan sedikit kuasa kepada jentera yang mempunyai kuasa kuda (hp) sekitar 80hp dan ia masih boleh dipandu dengan cemerlang dengan kelajuan maksimum 170 kilometer sejam.

Sudut luaran tampak mudah dan mengekalkan pelbagai komponen seperti logo, jaring hadapan asal termasuk lampu belakang yang tampak unik dan berbeza.

Sedikit keunikan pada jentera ini sememangnya tampil dengan bumbung suria yang masih lagi mampu digunakan.

Penambahan kit badan termasuk bampar hadapan dan belakang dari Honda Accord CA1 ternyata membuat jentera ini sedikit berbeza.

Pemasangan rim khas yang dibawa dari Taiwan bersaiz 16 inci ternyata memberi gaya pada jentera ‘oldskol’ ini termasuk bahagian dalaman mengekalkan kemasan asal dan langsung tidak diusik keasliannya termasuk roda stereng serta meter kelajuan yang menawan.

INFO

HONDA PRELUDE GENERASI PERTAMA 1979

• Enjin EL14 1,602cc

• Kit badan kustom

• Bampar hadapan dan belakang Honda Accord CA1

• Rim khas dari Taiwan 16 inci

• Bumbung suria asal

• Ekzos saluran terus

• Kelab Honda OldSkool Malaysia

• Kos modifikasi RM5,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 8:44 AM