INSPIRASI model supersport Ninja.
GAYA agresif dengan lampu depan berkembar.
INSTRUMEN paparan meter digital dan analog.
LAMPU belakang LED bentuk X.
PELANA tunggal jadikan lebih sporty.
LENGAN ayun dan suspensi belakang ‘back-link’.
FORK teleskop dan brek ABS.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Legasi motosikal siri Ninja sejak mula dihasilkan pada 1984 diteruskan dengan pengenalan model baru Kawasaki Ninja 650 ABS pada awal tahun ini ke pasaran tempatan.

Model yang menggantikan ER-6f dijual sejak 2006 ini hadir dengan rekaan dan enjin baru untuk pengendalian lebih mantap di jalanan buat mereka yang gemarkan motosikal berfairing penuh serta tampil lebih menarik terutama pada corak grafik.

Dua varian ditawarkan iaitu Standard (STD) dan Edisi Khas (SE) seperti yang ditunggang uji penulis dengan perbezaan aksesori seperti penutup pelana tunggal, pelindung angin gelap, penutup radiator dan jalur pada rim.

Bagi motosikal sportsbike kelas pertengahan ini, ia adalah model yang menawarkan tunggangan pantas, ringan serta sesuai buat penunggang baru atau berpengalaman yang mahu menaik taraf motosikal.

Rekaan bahagian hadapan Ninja 650 ABS ini menampilkan gaya supersport Kawasaki dengan ciri agresif, pantas dan kompak terutama bahagian lampu berkembar lebih tirus menjadikan kehadirannya lebih jelas di jalan raya.

Pelindung angin hadapan boleh dilaras secara manual dengan tiga kedudukan berbeza sehingga jarak 60mm boleh disesuaikan dengan gaya tunggangan terutama untuk kelajuan tinggi.

Instrumentasi pelbagai-fungsi pada meter direka dengan bergaya untuk maklumat tunggangan anda seperti indikasi kedudukan gear dan bahan api serta kelajuan yang jelas dengan skrin LCD serta jarum takometer analog.

Tuil klac dan brek pula boleh dilaras lima kedudukan untuk memenuhi saiz tangan berbeza bagi keselesaan sewaktu menukar gear terutama ketika menempuh kesesakan jalan raya atau melayan selekoh.

Model ini juga menggunakan Klac ‘Assist and Slipper’ dengan dua cam untuk beroperasi sama ada serentak atau berasingan bagi mengurangkan tekanan serta lebih ringan ketika digunakan mengimbangi daya tork serta tayar belakang daripada melantun.

Rekaan sisi model ini dengan pelana tunggal ciri sporty dengan tangki mampu memuatkan 15 liter petrol serta kedudukan pelana hadapan dengan 79 sentimeter (sm) sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang.

Lampu belakang LED bergaya dengan bentuk X juga jelas dalam sebarang cuaca serta lampu membelok terang untuk keselamatan terutama bagi tunggangan malam.

Menunggang motosikal ini memberi kepuasan tersendiri dengan enjin 649 cc sejukan cecair empat lejang berkembar selari DOHC enam kelajuan menawarkan kawalan dan prestasi lebih baik serta responsif.

Motosikal ini juga dipadankan dengan kerangka Trelis keluli baru ringan yang tahan lasak dengan kurang 15 kg berbanding model sebelumnya menyumbang kepada pengendalian yang lebih tepat.

Brek cakera dengan unit Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch 9.1M berkembar bersaiz 300mm dan cakera tunggal belakang bersaiz 220mm untuk keupayaan membrek dengan baik serta gabungan angkup hadapan dwi-piston daripada Nissin untuk cengkaman yang mantap.

Lengan ayun juga dipertingkatkan dengan gantungan belakang mendatar memberi sentuhan termaju dengan merendahkan pusat graviti untuk keseimbangan prestasi sporty dan keselesaan tunggangan lebih baik terutama ketika menempuh selekoh atau melalui permukaan tidak rata.

Secara keseluruhannya, Ninja 650 ABS bukan sekadar motosikal berkuasa tinggi untuk tunggangan berprestasi malah sesuai untuk kegunaan harian atau berulang-alik ke tempat kerja dengan posisi menunggang yang selesa.

Sebenarnya, motosikal ini mudah dikawal hasil rekaan casis tirus dengan pelana direndahkan untuk memberi keselesaan menjejakkan kaki di atas jalan raya apatah lagi ketika memasuki kesesakan di tengah bandar raya.

Untuk perjalanan jarak jauh di lebuh raya, ia memberi kuasa kuda 68 PS dan tork 65.7 Nm dengan enjin lancar memudahkan untuk memecut atau memintas kenderaan ditambah dengan kestabilan dan prestasi berterusan menjadikan perjalanan tambah mengujakan.

Dua warna ditawarkan iaitu Jingga (model STD) dan Hijau Lime (SE) dijual pada harga asas RM37,189 dan RM38,189 (termasuk GST) dengan waranti dua tahun atau lepas 20,000km perjalanan, yang mana lebih awal.

* Paparan ini boleh disaksikan dalam Segmen Vroom Berita TV9, jam 12 tengah hari dan 8 malam hari ini.

INFO

KAWASAKI NINJA 650 ABS

• Enjin: 649 cc, sejukan cecair empat lejang berkembar selari DOHC

• Kuasa maksimum: 68 PS pada 8,000rpm

• Tork maksimum: 65.7 Nm pada 6,500rpm

• Transmisi: Klac enam kelajuan, Return

• Ciri keselamatan: Sistem brek anti-kunci (ABS), Assist and Slipper Clutch.

• Harga: RM37,189 (STD) dan RM38,189 (SE)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 10:44 AM