REKAAN terkini dengan ciri siri 90 Volvo.
WARNA baru Luminous Sand.
BUT untuk muatan dengan kerusi belakang boleh direbahkan.
RUANG dalaman diberi sentuhan aluminium baru.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Sebagai kereta kedua paling laris selepas model XC90 untuk jenama Volvo di Malaysia model terbaru V40 T5 Inscription kini ditawarkan dengan beberapa ciri eksklusif seperti yang terdapat pada siri 90 mereka.

Model versi peningkatan (facelift) itu dilengkapi ciri luaran terkini seperti gril hadapan dan logo Volvo Iron Mark, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk ‘Thor’s Hammer’, rim 17 inci Sarpas dan warna baru diperkenalkan.

Bahagian dalaman dipadankan kemasan Milled alumimum dengan logo Volvo terkini dipasang pada roda stereng, paparan sensus dan rantai kunci juga kluster meter digital baharu termasuk plat sisi pintu Inscription.

Kualiti ruang udara dengan teknologi CleanZone juga dipadankan pada model ini yang bertindak menapis udara luar sebelum ke ruang kabin serta menyahbau kurang enak serta melindungi permukaan ruang dalaman bagi sebarang alahan terhadap pengguna.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Lennart Stegland berkata, V40 adalah model kedua terlaris selepas XC90 yang mula memasuki pasaran Malaysia pada 2013 menawarkan ciri pemanduan dan keselamatan terbaik.

“Model ini penting untuk pasaran Volvo di Malaysia dengan ciri prestasi dan keselesaan untuk pengguna bakal menarik lebih ramai pembeli dalam segmen berkenaan,” katanya pada majlis pelancaran.

Model hatchback lima pintu itu dijana enjin Drive-E dicas turbo 2.0 liter mampu menghasilkan kuasa sehingga 245 hp dan tork 350 Nm dengan transmisi kotak gear lapan kelajuan Geartonic dan Sport Mode. Model itu juga mendapat penarafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ciri keselamatan mendahului pesaingnya dengan Brek Kecemasan Autonomi (AEB) atau teknologi Pengelakan dan Pengurangan Pelanggaran terutama ketika pemanduan di dalam bandar.

Empat warna ditawarkan iaitu putih Ice, hitam Onxy, kelabu Osmium dan Luminous Sand dijual pada harga bermula RM180,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan waranti lima tahun.

Bagi mengukuhkan segmen pasaran, Volvo juga bakal melancarkan V40 T4 baru sebagai varian tambahan untuk pasaran di negara ini tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 10:39 AM