BENTUK American Muscle sejati.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my

Chevrolet El Camino mula diperkenalkan di pasaran dunia pada 1959 sebagai sebuah jentera pengangkutan. Berikutan kejayaannya, jentera ini diteruskan pengeluarannya hinggalah kepada beberapa generasi.

Di Australia dan Amerika Syarikat, jentera coupe dan mempunyai but yang luas kebanyakannya tidak digunakan sebagai kenderaan keluarga sebaliknya digunakan untuk mengangkut tanaman khususnya labu yang ditanam di kebun.

Namun kelibat jentera ini di Malaysia sangat sukar ditemui apatah lagi digunakan sebagai jentera pengangkutan.

Ini kerana, selain alat ganti yang sukar diperoleh, jentera ini sebenarnya menggunakan enjin berkuasa V8 yang bersesaran 5,000cc dan disebabkan itu sudah pasti ramai yang berfikir panjang untuk memilikinya.

Pemilik kenderaan yang juga pemilik bengkel Poseng Auto di Sungai Buaya, Rawang, Selangor, Razali Abd Hamid, 36, berkata jentera El Camino generasi kelima dimilikinya tidak lagi layak dijadikan jentera pengangkutan berikutan proses restorasi menyeluruh dilakukan.

“Ubah suai ekstrem ini menjadikan jentera kelihatan unik dengan beberapa elemen dan sulaman komponen terbaru,” katanya.

Jentera buatan 1980 yang mengekalkan enjin asal bersesaran 5,000cc, tampil berbeza dengan jentera pengangkutan lain apabila sistem pemanduannya adalah sebelah kiri.

Ianya tidak diubah sebaliknya didatangkan asal, namun bagi sesetengah pemandu, ianya agak pelik dan janggal selain pengendaliannya agak sukar berikutan terpaksa menggunakan tuil gear pada stereng.

Papan permukaan turut menerima sentuhan semula malah kelihatan lebih canggih dan menawan daripada asal. Kerusi pula digantikan dengan kerusi bucket SSCUS dan ruangan pemanduan tak ubah seperti jentera lumba.

Jentera yang hanya boleh dinaiki dua atau tiga orang pada satu masa ini masih mengekalkan rupa bentuk luaran asal.

Bampar, lampu hadapan dan belakang, jaring krom dan sebagainya masih terpelihara rapi.

Jentera ini tampak lebih gah dengan pemasangan empat buah rim mega bersaiz 20 inci berjenama Work Racing.

But belakang jentera yang dahulunya dimamah usia dek kerana bebanan yang ditanggung sewaktu menjadi kenderaan pengangkutan kini dibina semula dan tidak lagi digunakan untuk tujuan itu sebaliknya jentera ini hanya dikhaskan untuk karnival permotoran di tanah air.

Selain itu, sistem ekzos turut dibina khas bagi memberikan lebih keselesaaan tatkala tenaganya dikerah.

Jentera yang boleh dikategorikan antara kenderaan nadir di Malaysia sebenarnya telah dilamar banyak pihak termasuk golongan kenamaan atau VVIP yang pernah menawarkan harga setinggi RM120,000 namun ditolak pemilik.

INFO

CHEVROLET EL CAMINO

• Enjin V8 5,000cc

• Kerusi bucket SSCUS

• Jaring krom, bampar, lampu hadapan dan belakang

• Rim 20 inci Work Racing.

• Sistem ekzos talaan khas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 10:30 AM