HONDA CR-V generasi kelima serba baru.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Orang ramai yang masih mencari jentera sesuai untuk seisi keluarga kini boleh mengunjungi pengedar sah Honda Malaysia apabila model kenderaan ultiliti sukan (SUV) terbaharu Honda CR-V dibuka untuk tempahan.

Model generasi kelima itu tidak sahaja padat dengan teknologi termaju daripada Honda, malah turut menawarkan keseronokan pemanduan tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan.

Tempahan awal untuk model Honda CR-V baru sudah dibuka di semua 91 rangkaian pameran jenama itu seluruh negara bermula 1 Jun.

Honda CR-V serba baru itu menggunakan platform lebih besar daripada generasi keempat dengan dimensi 4,584 milimeter (mm) panjang, 1,855 mm lebar dan 1,679 mm tinggi bagi varian pacuan dua roda (2WD) atau 1,689 mm tinggi bagi pacuan empat roda (4WD).

Malah, daya kuasa dan kilas turut ditambah manakala berat keseluruhan dikurangkan berbanding model terdahulu bagi menawarkan prestasi terbaik.

Honda Malaysia dalam kenyataannya berkata, walaupun saiz lebih besar hasil reka bentuk semula ruang dalaman dan luaran, CR-V masih menjanjikan pemanduan seperti sedan dalam lingkungan pandangan lebih tinggi.

Karakter premium masih kekal dan dipertingkatkan bersama padanan kualiti pemanduan dan teknologi termaju Honda.

Model ini turut mengetengahkan teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan daripada Honda Sensing untuk kali pertama di pasaran negara ini.

Antara teknologi keselamatan termaju Honda diperkenalkan termasuklah Adaptive Cruise Control (ACC), Low-Speed Follow (LSF), Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM), Foward Collision Warning (FCW) dan Collision Mitigation Braking System (CMBS).

Sistem daripada Honda Sensing ini membolehkan pemandu menerima amaran dan bantuan sekiranya kenderaan dipandu berada di luar kawalan atau mengelak rintangan di jalan raya.

Honda Sensing menggabungkan kemajuan kanta kamera dibahagian atas cermin hadapan dan penderia gelombang radar pada gril depan untuk perkiraan tepat dalam mengenal pasti halangan di hadapan.

Terdahulu, Honda Malaysia turut menganjurkan siri jelajah di seluruh negara bagi memperkenalkan CR-V baru ini dengan lebih dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 4:27 AM