TAMPAK bergaya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Bagi pencinta Japanese Domestic Market (JDM), Nissan Silvia cukup ikonik dan sememangnya dikenali ramai dengan kuasa pecutan dari roda belakang.

Dalam sukan drift dunia termasuk di Malaysia, jentera ini memang tidak asing lagi untuk dilihat beraksi di litar.

Sedikit sejarah Silvia, ia diambil daripada nama satu Dewi dalam legenda Yunani dan antara jentera terawal varian ini adalah Silvia CSP311.

Sehingga 2002, sebanyak tujuh varian Silvia dilancarkan dan model terakhirnya adalah S15.

Di Pulau Pinang, jika lihat pada gaya aksi drift yang dipamer, ditambah dengan rupa luaran Nissan Silvia 180SX generasi ke-5 Silvia yang tampak sporty, pasti ramai beranggapan jentera drift ini dikendalikan dan dimiliki seorang yang mahir dalam sukan ini.

Namun penulis seakan tidak percaya ia dimiliki remaja berusia 20 tahun dan masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Pulau Pinang.

Pemilik, Muhammad Haikal Azmi berkata, berkata jentera buatan 1993 yang dimilikinya dua tahun lalu itu dikhaskan untuk sukan drift.

Tidak sempurna jika sesebuah jentera drift tidak memiliki enjin berkuasa, justeru enjin SR20DET dengan kuasa kuda melebihi 260hp, menjadi pilihan pemilik.

“Kebiasaannya proses modifikasi enjin jenis ini sangat sedikit. Penambahan atau penukaran komponen berprestasi seperti Banana Manifold Turbo atau digelar Banana Tonkka, Blow Off Greddy, wastegate Tial serta padanan intercooler Apexi menjadikannya lebih berkuasa.

“Kuasa tanjakan lebih tinggi dengan penukaran klac HKS Twin plat dan kawalan keseimbangan dikawal sepenuhnya suspensi Apexi,” katanya.

Untuk menghentikan jentera pada tahap maksimum ia menggunakan sistem cakera daripada Nissan Skyline R33.

Jentera ini memiliki rupa luaran unik apabila bampar, but dan dapra dikacukkan dengan Nissan Silvia S14 Kouki.

Padanan kit badan dan bampar belakang Uras serta pelekat badan khas menjadikan jentera tampak lebih bergaya ditambah pula rim 17 inci TA37 dan tayar Federal RSRR.

Sebagai jentera khusus sukan drift, ciri-ciri keselamatan perlu diutamakan dan pemasangan rollcage pada dalaman jentera dibuat pemilik sendiri.

Selain itu, dua kerusi bucket Sparco serta penambahan meter tiga beradik Apexi dan suis pelbagai fungsi menampakkan jentera sememangnya khas untuk kegunaan litar.

Pedal gear, brek kaki, klac dan brek tangan masih mengekalkan ciri asal tetapi dengan hanya meninggikan sedikit stereng pemanduan, jentera ini dapat dikawal dengan baik sewaktu melakukan aksi drift.

Biarpun masih baru dalam dunia sukan ini, pemilik berazam untuk mencipta nama dalam sukan ini dan turut menanam cita-cita bagi menaik taraf jenteranya berbanding sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 4:27 AM