PENYANYI baharu, Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin. FOTO Fadzli Nordin
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmeto.com.my


MERANGKUL 18 anugerah dalam tempoh dua tahun pembabitan dalam bidang seni pencapaian hebat buat penyanyi baru seperti Khai Bahar.

Namun, itu bukan alasan untuk Khai, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin mendabik dada. Sebaliknya, kejayaan diraih itu menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya.

Malah, Khai yang baru diangkat sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH 31) baru-baru ini, menyifatkan setiap pengiktirafan diberikan adalah satu tanggungjawab.

Mahu atau tidak, Khai perlu galas sebaik-baiknya supaya tidak mengecewakan pihak yang selama ini menyokong kerjaya nyanyiannya terutama peminat.

Pada masa sama, Khai juga sedar berada pada kedudukan sekarang memberi lebih banyak ruang kepada pihak lain mencari kesalahannya. Pendek kata, Khai kini diperhatikan mata-mata yang ingin melihat dirinya jatuh.

Namun, Khai yang popular menerusi lagu Bayang sentiasa berfikiran positif dan ingin menjadi diri sendiri.

Suka atau tidak, anak jati Kampung Padang, Katong, Perlis ini hanya buat sehabis baik demi kelangsungan kerjaya.

“Saya bersyukur dengan apa diperoleh sekarang. Tanpa sokongan hebat daripada peminat tetutama Khai Bahar Empire (KBE) dan pihak lain, saya tidak akan berada pada tahap sekarang. Secara peribadi, saya gembira dan rasa bertuah dengan semua pencapaian ini.

“Namun, jauh di sudut hati saya tetap berasa takut kerana orang ramai terus mengharapkan yang terbaik daripada saya. Sudah tentu mereka ingin saya pergi lebih jauh. Disebabkan itu, saya sentiasa ingatkan diri bahawa setiap kejayaan adalah satu tanggungjawab.

“Malah berada pada tahap sekarang bukan lagi masa untuk saya bersikap sambil lewa atau main-main. Saya perlu bergerak pantas dengan ambil setiap peluang yang ada depan mata. Lambat sikit, saya akan ketinggalan,” katanya.

Menurut Khai, bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan tidak pincang, dia bersama pihak syarikat rakaman sudah mengatur pelbagai strategi.

Bukan saja hingga hujung tahun ini, tetapi pelbagai agenda sudah direncana bagi mengisi jadual seni Khai.

Khabar gembira buat peminat Khai, dia merancang mengadakan ‘showcase’ tahun depan bagi memenuhi permintaan mereka selama ini.

“Setiap penyanyi tentu saja ingin kerjaya mereka berkembang maju. Cuma, segalanya bergantung kepada rezeki. Lambat atau cepat, ia ketentuan Allah. Macam saya juga, kalau boleh setiap yang dirancang dapat dilaksanakan.

“Selama ini, saya mengidamkan untuk mengadakan persembahan istimewa khas untuk peminat. Namun, belum ada rezeki. Melihatkan sambutan di Hong Kong baru-baru ini, saya berasakan sudah sampai waktu buat di sini pula.

“Buat masa sekarang, showcase ini masih dalam peringkat perbincangan. Saya berharap ia menjadi kenyataan tahun depan. Saya mahu dedikasikan persembahan ini buat seluruh peminat. Bukan saja di sini, tetapi yang di Singapura, Brunei dan Indonesia boleh turut serta. Jadi, doakan ia dipermudahkan,” katanya.

Terus cipta lagu sendiri

Selepas berjaya menambat hati peminat muzik tempatan menerusi lagu ciptaannya sendiri, Luluh, Khai kini muncul dengan buah tangan terbaru berjudul #123.

Lagu ciptaannya itu menampakkan sisi berbeza apabila mengetengahkan muzik rancak berbanding kebanyakan lagu sebelum ini iaitu berentak balada.

“Ini lagu kedua ciptaan saya sendiri. Lagu ini sudah lama siap, namun baru dilancarkan hujung bulan lalu. Istimewanya lagu ini kerana ia berentak rancak. Saya sengaja beralih angin daripada genre balada kerana nak mempelbagaikan genre lagu.

“Pada masa sama, saya tidak mahu peminat bosan. Sesekali saya juga perlu tampil berbeza dalam muzik. Sekurang-kurangnya peminat boleh menilai keupayaan sebenar saya. Jika ada kekurangan, sila tegur untuk diperbaiki pada masa akan datang.

“Paling penting, lagu ini memberikan ‘mood’ berbeza jika saya mengadakan persembahan pentas. Jika selama ini lagu sedih dan jiwang saja. Sesekali kita menari bersama apa salahnya? Biarlah ceria sikit,” katanya tersenyum.

Kemunculan lagu itu juga sebenarnya mengundang cakap-cakap kurang enak kononya Khai mahu meniru lagu Hajat nyanyian Hael Husaini.

“Buat apa saya nak tiru lagu Hael. Kalau dengar dengan teliti, lagu kami jauh berbeza. Mungkin sebab kedua-dua lagu ini rancak orang beranggapan saya cuba tiru lagu itu. Macam dikatakan, lagu ini sudah disiapkan tahun lalu.

“Bagi saya, setiap lagu ada keunikan dan kelebihan tersendiri. Peminat juga berhak untuk pilih nak dengar lagu siapa. Tidak ada paksaan dalam perkara ini. Saya percaya kepada rezeki Allah,” katanya.

Selepas berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, impian Khai untuk berduet dengan Siti Nordiana bakal tercapai menerusi single duet.

“Lagu sudah ada, cuma tunggu lampu hijau daripada syarikat rakaman saja. Insya-Allah, paling cepat awal tahun depan.

“Selain Kak Nana, saya juga teringin bekerjasama dengan Misha Omar, Siti Sarah dan Wany Hasrita. Kalau diberi peluang, saya sedia terima dengan berlapang dada,” katanya.

Selain itu, Khai akan terbabit dalam perlumbaan kedua Toyota Gazoo Racing yang dijadual berlangsung pada 20 dan 21 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 5:30 AM