MEK melawat Rizuan. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my

PERNAH cuba bertindak kasar terhadap ibu angkat, seorang pesakit mental dirantai sebelah kakinya di tiang di dalam rumahnya, di Tumpat.

Dalam kejadian lima tahun lalu itu, Rizuan Adam, 42, cuba mengacukan sebilah pisau terhadap Mek Deraman, 62.

Ia menyebabkan wanita itu terpaksa bertindak merantai kaki anak angkatnya yang tinggal berseorangan di sebuah rumah di Kampung Kubang Sawa.

Bagaimanapun, kini selepas Rizuan mendapat rumah baharu yang disumbangkan pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dia tidak lagi dirantai, sebaliknya pintu kediaman itu dikunci daripada luar.

Mek berkata, anak angkatnya yang dipelihara sejak lahir itu menghidap penyakit mental pada usia remaja.

“Rizuan sempat bersekolah sehingga Tahun Tiga sebelum keadaannya menjadi begitu (mental) sehingga kini.

“Sudah beberapa kali saya menghantarnya ke Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II, namun keadaannya masih begitu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tumpat.

Mek yang tinggal di sebelah rumah Rizuan juga hidup berseorangan kerana dua anaknya menetap di Kota Bharu dan Pulau Pinang.

Setiap hari, wanita itu akan membawa makanan dan minuman untuk Rizuan dan hanya menghulurkannya melalui celah pintu jeriji, tanpa membuka pintu kerana bimbang Rizuan akan bertindak agresif.

“Kami mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mana saya menerima sebanyak RM300 sebulan, manakala Rizuan pula RM150.

“Dengan bantuan bulanan itulah kami gunakan untuk kelangsungan hidup. Walaupun tidak banyak tapi cukuplah untuk makan minum kami,” katanya.

Terdahulu Rizuan menerima kunjungan daripada Pengerusi Biro Kebajikan dan Dakwah PKINK, Mohd Rozi Mohd Noor bersama Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Kelantan, Tuan Ghazali Tuan Long yang membantu Rizuan mendapatkan rumah baharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:20 PM