Amir Abd Hamid
amir_hamid@hmetro.com.my

Palu: Bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, Indonesia menyebabkan Kota Palu menjadi seolah-olah tempat timbunan sampah besar.

Terdesak untuk mendapatkan barang menyebabkan sebahagian masyarakatnya yang menjadi mangsa badai itu tidak segan mencari apa saja boleh digunakan di sebalik celah sampah dan runtuhan.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) terkedu dengan pemandangan menyayat hati melihat mangsa berkeadaan sedemikian.

Antara lokasi tumpuan mangsa yang berebut mencari ‘sesuatu’ untuk ikhtiar hidup itu ialah di sekitar runtuhan pasar raya berhampiran ikon binaan kota ini, Jambatan Ponulele.

Cuaca panas dan tiada lagi pencarian mayat menyebabkan kawasan segitiga emas perniagaan yang sibuk sebelum bencana kelihatan tetap sibuk dengan si pencari harta berharga.

Kalangan mereka yang mencari ‘sesuatu’ disebalik sampah itu tidak kira usia sama ada kanak-kanak, dewasa atau orang tua.


ANGGOTA penyelamat sedih melihat runtuhan di Petobo di Sulawesi Tengah.

Malah, jelas terpancar kegembiraan pada wajah seorang wanita yang menemui kasut di celah runtuhan kedai kasut ketika wartawan merakamkan rencam hidup mangsa bencana dari dalam van yang dinaiki bersama peserta misi.

Semalam, genap 10 hari gempa bumi berskala 7.5 magnitud disusuli tsunami melanda Sulawesi di Palu dan Donggala.

Orang ramai yang mahu membantu mangsa tsunami dan gempa di Palu boleh hulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717.

Slip sumbangan boleh SMS atau WhatsApp kepada Ustaz Rashdan di talian 017-3333881, Ustaz Safuan (013-4886447), Johari (016-9978323) atau Zulkifli (019-2518771).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 8:25 AM