Amir Abd Hamid
amir_hamid@hmetro.com.my

Polewali (Sulawesi Barat): Perjalanan mencabar tidak mematahkan semangat sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) meneruskan misi menghantar bantuan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu.

Ketika perjalanan ke Palu melalui jalan darat dari Makassar, kami dikejutkan dengan bunyi letupan akibat tayar belakang kanan van dinaiki pancit 10 minit selepas meneruskan perjalanan dari Masjid Al Muhajirin’ Mallang, Kabupaten Pinrang untuk menunaikan solat Subuh.

Terdahulu, sukarelawan singgah di masjid itu selepas menempuh hampir enam jam perjalanan meninggalkan Makassar pada jam 12 tengah malam.

Sikap saling membantu antara peserta misi menggembirakan pemandu van Wandi, 20-an dan bapanya Abdullah, 50-an yang juga pemandu kedua.

Sukarelawan khuatir meneruskan perjalanan berikutan tayar gantian didapati dalam keadaan tidak selamat kerana bebenangnya terkeluar.


PEMANDU van menukar tayar pecah. FOTO Amir Abd Hamid

Tetapi kerana tiada pilihan lain, tayar itu digunakan dan kami sepakat meneruskan perjalanan.

Namun, belum pun memulakan perjalanan, sekali lagi kami diuji apabila enjin van Toyota Hiace yang boleh memuatkan 15 penumpang itu gagal dihidupkan.

Berikutan itu sukarelawan menolak van berkenaan demi meneruskan misi menghantar bantuan ke Kota Palu.

Bimbang kejadian berulang, Ketua Misi yang juga Timbalan Presiden Muslim Care Johari Ismail menasihatkan pemandu menggantikan tayar baharu dan menyelenggara van di bengkel berhampiran di pekan Polewali.

Sementara menunggu van diselenggara, sukarelawan menumpang mandi di bengkel berkenaan.

Sehingga berita ini ditulis jam 10.10 pagi (Sabtu 6 Oktober 2018), kami tabah meneruskan perjalanan dan dijangka tiba di Palu, pagi esok (Ahad).

Sepanjang perjalanan, peserta misi saling memberikan kata semangat, masalah kecil itu dianggap permulaan kerana bakal berdepan pelbagai lagi dugaan di Palu.


LALUAN perjalanan sukarelawan Muslim Care dalam misi bantuan ke Palu. FOTO Amir Abd Hamid

Orang ramai boleh menyalurkan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank 564490413882 atau Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717.

SMS atau WhatsApp slip sumbangan kepada Ustaz Rashdan 0173333881, Ustaz Safuan 0134886447, Haji Johari 0169978323 atau Haji Zulkifli 0192518771.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 7:30 AM