Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


DUA daripada tiga lelaki yang diburu polis kerana membunuh kucing bunting secara kejam dengan memasukkannya dalam mesin pengering pakaian di dobi layan diri, akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua daripada tiga lelaki berkenaan ditahan awal pagi tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan sekitar Gombak dan polis masih lagi memburu seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.

"Kedua-dua lelaki berkenaan yang mana perlakuan kejam mereka membunuh seekor kucing bunting terbiar dengan kejam, ditahan awal pagi tadi sekitar daerah ini.

"Bagaimanapun, polis masih lagi memburu seorang lagi suspek yang turut berada di lokasi ketika kejadian kejam itu dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, polis mendedahkan gambar tiga suspek berkenaan yang dikehendaki kerana melakukan penganiayaan dan membunuh haiwan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek diburu selepas mereka membunuh seekor kucing bunting terbiar dengan 'memanggangnya' dalam mesin pengering pakaian di dobi layan diri di Taman Gombak Ria, 12.30 tengah malam, Selasa lalu.

Bangkai kucing berkenaan ditemui pelanggan lain pada 10.30 pagi ketika ingin menggunakan mesin pengering berkenaan sebelum sebuah pertubuhan membela haiwan bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Perlakuan kejam serta tidak bertamadun mereka dirakam CCTV premis berkenaan serta tular di media sosial mendapat kecaman masyarakat di negara ini.

Berita berkaitan

''Kejamnya! [METROTV]''

''[UPDATE] Pembunuh kucing bunting diburu''

'Nah, ini tiga suspek bunuh kucing!'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:47 AM