BATANG paip menembusi cermin kereta dan badan lelaki itu selepas keretanya merempuh sebuah garaj di Norilsk, Russia. FOTO east2west news
Agensi

Moscow: Seorang lelaki sangat bertuah kerana masih bernyawa walaupun dadanya berlubang akibat ditusuk sebatang paip besi selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Lelaki berusia 31 tahun itu cedera parah selepas kereta Audi yang dipandunya merempuh garaj di bandar Norilsk di Krasnoyarsk Krai, Russia, lapor Daily Mail.

Satu paip yang terdapat di garaj itu menembusi cermin kenderaan berkenaan sebelum menusuk dada kiri mangsa.

Anggota bomba terpaksa memotong paip berkenaan dan segera membawa lelaki itu ke hospital.

Paip berkenaan digunakan untuk mengepam air panas kerana Norilsk antara bandar paling sejuk di dunia.

Polis dalam laporan awalnya berkata, lelaki itu kemungkinan mabuk ketika kejadian tetapi memberitahu punca sebenar kemalangan berkenaan masih dalam siasatan.


PAIP seluas 7.62 sentimeter yang menembusi badan lelaki itu. FOTO east2west news

Doktor terkejut melihat keadaan lelaki itu dan berkata, ia satu keajaiban kerana mangsa masih hidup.

Beberapa gambar yang dirakamkan petugas hospital menunjukkan mereka boleh melihat menerusi paip seluas 7.62 sentimeter yang masih menembusi dada lelaki itu.

Lelaki itu dilaporkan kehilangan sebelah paru-parunya tetapi doktor berjaya mengeluarkan paip berkenaan yang hampir mengenai jantungnya.

Jurucakap hospital berkata, lelaki itu masih dirawat di unit rawatan rapi dan keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:29 AM