ARIO Bayu. FOTO Aziah Azmee
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Lebih dua tahun lalu ketika terbabit dalam projek drama untuk saluran HBO berjudul Halfworld, pelakon popular Indonesia, Ario Bayu, 33 dihampiri penerbit filem One Two Jaga, Bront Palarae, 40, untuk berkolaborasi.

“Bront melontarkan idea mahu hasilkan One Two Jaga dan bertanya adakah saya berminat?

“Saya tertarik kerana idea dan penceritaannya ada persamaan dengan apa yang berlaku di Indonesia,” katanya.

Ario yang berada di Malaysia selama empat hari sejak 7 September lalu berkata filem itu mempunyai cerita penting untuk disampaikan kepada penonton.

Dia yang popular melalui watak ikonik Soekarno dalam filem Soekarno pada 2013 akui menerima lamaran Bront lantas terus menyiapkan diri untuk memegang watak Sugiman, pendatang tanpa izin bekerja sebagai buruh di Malaysia.

Katanya, berlakon di luar Indonesia bukan satu masalah baginya kerana anak seni tiada istilah sempadan.

“Tidak kisah kerja di mana-mana kerana dunia lakonan tiada sempadan. Tambahan pula saya, Bront dan Nam Ron (pengarah) melakukan projek ini kerana cintakan seni dan filem.

“Mungkin disebabkan itu, kami mudah serasi,” katanya.

Dia yang pernah terbabit dengan pelbagai projek filem dalam dan luar negara mengakui suatu ketika dahulu sangat memilih karya kerana berasakan sebagai pelakon, satu atau dua filem dalam jangka masa setahun sudah cukup.

Namun, apabila kian meningkat dewasa, dia yang memulakan kerjaya lakonan pada usia 19 tahun percaya pelakon perlu bekerja untuk menampung kehidupan.

Menurut Ario, pendiriannya mula berubah apabila mengalami zaman kejatuhan dan kekecewaan dalam filem terutama selepas membintangi Soekarno.

Dia pernah menyimpan hasrat untuk bersara dan mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

Katanya, selepas ‘bersara’ seketika, dia tidak rasa puas malah perniagaan yang diusahakan berdepan masalah sehingga mengalami kerugian.

“Saya kembali berlakon dan kali ini menerima apa saja bentuk tawaran asalkan jalan cerita dan skripnya bagus.

“Kalau saya terus memilih untuk berlakon hanya satu dua filem saja setahun, bagaimana saya dapat meneruskan kehidupan?” katanya yang sudah membintangi lebih 30 filem.

Tanpa berselindung, Ario mengakui terinspirasi dengan cara kerja Bront yang berani menerbitkan filem sendiri.

Katanya, banyak ilmu dipelajari daripada Bront terutama aspek pengurusan penerbitan filem.

“Namun, seperti biasa, wang selalu menjadi isu dan dalam industri ini, penting ada kesatuan antara seni dan dunia bisnes.

“Di Indonesia, ada pelbagai cara untuk cari pelabur dan ia tidak semudah disangka kerana pelabur pastinya mahukan pelaburan mereka berbaloi” katanya.

Dia memuji usaha Bront yang berani menghambakan diri untuk filem terbaru terbitannya itu demi sebuah nilai seni.

Dia mengambil contoh pembabitannya dalam filem biopik berbajet besar berjudul Sultan Agong yang mengalami kerugian kerana gagal meraih kutipan pecah panggung pada Ogos lalu.

Katanya, penerbit filem itu sehingga kini perlu berusaha keras dengan pelbagai cara untuk mendapatkan kembali modal serta membayar semula wang pelabur.


ARIO Bayu. FOTO Aziah Azmee

Tinggalkan isteri demi Bront

Melihat kesungguhan rakannya itu, Ario mendedahkan sanggup meninggalkan isteri tercinta Valentine Payen, pelayar dan pelakon warganegara Perancis, selepas seminggu berkahwin pada Julai lalu di Paris.

Semuanya gara-gara mahu menyiapkan babak tambahan dalam filem One Two Jaga yang menjalani penggambaran di sini.

“Bront menelefon saya untuk menjalani penggambaran babak tambahan filem ini dan atas dasar tanggungjawab, saya terbang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Ario yang ditemui di Balai Berita, Sabtu lalu berkata dia kini dalam perancangan menerbitkan filem sendiri.

Dia turut bersyukur kerana memiliki kafe dan produk serbuk kopi di Bandung yang boleh membantu merealisasikan impian menerbitkan filem pada masa depan.

Ario berkata dia tidak boleh merungut meski terpaksa bekerja lebih keras kerana percaya kerjayanya itu paling hebat di dunia.

Dia turut memuji usaha dilakukan barisan pelakon lain dalam filem One Two Jaga yang mencurahkan kecintaan mereka terhadap projek ini.

Filem One Two Jaga yang mula ditayangkan sejak 6 September lalu turut dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Amerul Affendi, Rosdeen Suboh, Zahiril Adzim, Azman Hassan, Asmara Abigail, Along Eyzendy dan Anuar Chew Kinwah.

Terbaru, dia tampil dengan filem sejarah berjudul Sultan Agong selain bakal berlakon dalam sebuah produksi tempatan yang akan menjalani penggambaran di Sarawak.

Malah dia juga baru selesai penggambaran filem terbitan negara asalnya berjudul Darah Daging.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:17 AM