NUR Ayra Humaira memerlukan dana RM200,000 untuk rawatan pemindahan hati di China. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketika dilahirkan, Nur Ayra Humaira Mohd Nor Faiz, 2, sihat dan normal seperti bayi lain namun ketika usianya 23 bulan, dia disahkan menghidap penyakit cryptogenic liver cirrhosis atau hati kronik.

Kini tumbesaran Nur Ayra Humaira terbantut apabila berat badannya hanya tujuh kilogram manakala matanya kekuningan dan perut sering kembung dan mengeras.

Menurut bapanya, Mohd Nor Faiz Sakariah, 30, anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan menderita penyakit terbabit berpunca daripada kencing tikus.

“Pakar mengesahkan anak saya terkena jangkitan kencing tikus yang menyebabkan hatinya rosak.

“Dia mengalami simptom sama seperti pesakit biliary atresia iaitu mata kuning, berat badan susut, fizikal kecil manakala perut kembung dan mengeras.

“Apa yang merisaukan dia tidak mahu makan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada air minuman kotak berperisa coklat,” katanya.

Menurutnya, Nur Ayra Humaira menerima rawatan sebulan sekali di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan peluang yang ada untuk kembali pulih hanya dengan rawatan pemindahan hati.

“Melihat keadaan semasa, doktor mengesyorkan anak saya perlu dibedah segera di Hospital Renji, Shanghai, China.

“Kami dijadualkan berangkat ke China, 9 September ini,” katanya yang juga penolong jurutera sebuah agensi kerajaan di Bandar Seri Iskandar, Perak.


MOHD Nor Faiz bersama anak bongsunya Nur Ayra Humaira yang menghidap penyakit hati kronik. FOTO NSTP

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga mempunyai masalah kewangan untuk membiayai kos rawatan pemindahan hati berjumlah RM200,000.

“Saya sanggup menyerahkan hati saya kepada anak selepas ujian menunjukkan hati kami sepadan namun dana terkumpul cuma ada RM100,000 dan masih perlukan RM100,000.

“Saya merayu rakyat Malaysia menderma untuk rawatan anak saya.

“Saya tidak sanggup lagi tengok dia menderita setiap hari. Seperti ibu bapa lain, kami juga mahu tengok dia ceria, boleh makan dan membesar macam kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Mohd Nor Faiz, 508065615753.


NUR Ayra Humaira ketika sihat.FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 9:47 AM