REMY dan Puteri Aishah, hero dan heroin Pulang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Pelayaran Othman tidak semudah disangka apabila kapal dinaiki dipukul ombak laut dan tenggelam di dasar laut.

Kisah Othman yang terpaksa meninggalkan isteri, Thom dan anaknya, Omar diuji dengan pelbagai insiden yang cukup meruntun dan mendebarkan jiwa.

Bagaimanapun, Othman terselamat dalam tragedi yang hampir meragut nyawanya itu.

Demikian antara inti pati filem Pulang arahan Kabir Bhatia yang mula ditayangkan hari ini.

Filem terbitan Primework Studios ini dihasilkan berdasarkan kisah benar mengenai Othman, kelasi kelahiran Serkam, Melaka yang terselamat selepas kapal dinaiki karam.

Othman membuat keputusan belayar semata-mata mahu mengubah kehidupannya.

Remy Ishak yang melakonkan watak Othman dalam filem ini berkata, ketika ditawarkan watak itu, dia cuba mengkaji serta mendalami watak sebenar lelaki itu selari dengan rujukan yang diberikan pengarah.

“Tidak sepenuhnya watak Othman dapat diterjemahkan dalam filem ini. Namun, saya sempat bertanya kepada ahli keluarganya mengenai perwatakan Othman. Bermula dari situ, saya cuba mendalami watak berkenaan supaya penonton dapat merasai emosi sebenar lelaki yang sememangnya wujud ini,” katanya.

Dalam kehidupan realiti, Othman ialah datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios Datuk Ahmad Izham Omar.

Remy berkata, menerusi filem Pulang dia juga berjaya melawan fobia ‘takut air’ selepas kejadian hampir lemas di kawasan perkelahan Ulu Yam, Selangor pada 2013.

Menurutnya, dia hampir panik melakukan babak terg­gelam dalam air dan barang dijatuhkan berhampirannya bagi menunjukkan suasana kapal karam.

“Bagaimanapun, saya cuba mengawal diri saya dan bertekad menghabiskan babak itu dengan sebaik mungkin,” katanya.


AHMAD Izham (kanan) dan anak hadir pada pratonton filem Pulang arahan Khabir Bakhtiar di GSC Pavilion. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Selain Remy, Pulang turut membariskan pelakon seperti Puteri Aishah, Erwin Dawson, Azrel Ismail, Alvin Wong, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Syazuwan Hassan dan Che Puan Juliana Evans.

Puteri Aishah berkata, berlakon dalam Pulang adalah cabaran buatnya kerana ia adalah filem pertamanya selain diberi peluang berganding dengan nama-nama besar dalam industri filem.

“Saya membawa watak sebagai Thom. Jujur, saya sangat berdebar apabila ditawarkan watak utama tapi saya terima tawaran ini sebagai satu pengalaman untuk meningkatkan kemampuan diri.

“Saya berharap filem ini dapat diterima dan memberi mesej positif kepada penonton. Malah, saya juga sedia menerima sebarang kritikan selepas filem ini ditayangkan,” katanya.

Pulang adalah karya yang cukup istimewa dengan kos mencecah RM6 juta. Apa yang menarik, ia juga banyak menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI).

Apa yang pasti, ia menjanjikan jalan cerita yang cukup menyentuh hati diilhamkan daripada kisah benar.

Bagi Erwin pula, dia teruja apabila diberi peluang memegang watak sebagai Ahmad. Cabaran terbesar ialah cuaca sejuk ketika menjalani penggambaran di Liverpool, England.

“Jika mahu bercerita mengenai cabaran, ia agak subjektif. Dari aspek fizikal, apa yang saya boleh kongsikan adalah sewaktu menjalani penggambaran di Liverpool ketika babak saya mencari kebenaran mengenai datuk saya.

“Penggambaran dilakukan pada musim sejuk. Jadi, saya berdepan dengan cabaran cuaca apabila pakaian yang dikenakan itu tidak cukup tebal. Saya terpaksa menahan gigil ketika penggambaran berlangsung.

“Selain itu, saya sendiri berasa teruja apabila berpeluang melihat sendiri kubur Othman di Anfield, Liverpool,”katanya.

Pengarah filem ini, Kabir berkata, Pulang memberi cabaran besar buat dirinya apatah lagi ia sebuah kisah yang benar-benar berlaku.

“Mujur kami mempunyai rujukan iaitu anak kepada Othman sendiri, namun pada masa yang sama, kami perlu menambah sedikit warna dengan menyelitkan beberapa babak fiksyen.

“Kami juga melakukan beberapa kajian terutama bagaimana kelasi berpakaian ketika era 1940-an kerana kita tidak mempunyai gambar. Namun, sedikit sebanyak kita cuba gambarkan situasi itu.

“Namun, babak yang lebih mencabar adalah kapal tenggelam di tengah lautan. Babak itu tidak mungkin terjadi jika tiada sokongan daripada kru produksi dan pasukan kesan khas yang sangat profesional. Kita membina bahagian depan kapal dan merobohkannya seperti melanggar batu besar,” katanya.


KABIR akui mengarah Pulang lebih mencabar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 8:56 AM