PUTERI Aishah. FOTO Rohanis Shukri.
Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@ hmetro.com.my

Debaran makin dirasai pelakon cantik Puteri Aishah Sulaiman menjelang tayangan filem pertama lakonannya, Pulang pada 26 Julai ini.

Filem ini ibarat kayu pengukur sama ada Puteri Aishah, 24, atau lebih mesra dengan panggilan Puteri mempunyai bakat besar sebagai pelapis industri seni lakon tanah air.

Ditambah lagi bekerja di bawah sutradara hebat Kabir Bhatia serta barisan pelakon terbaik antaranya Remy Ishak, Erwin Dawson dan Alvin Wong tentunya menjadi bonus buat dirinya menampilkan lakonan terbaik.

“Tak dinafikan saya sendiri sebagai pelakon amat teruja untuk melihat hasil filem ini.

“Saya dan Remy sudah menonton filem ini namun ia belum siap sepenuhnya. Namun, itu sudah cukup buat kami teruja menanti hasilnya yang sudah siap.

“Pulang memberikan pengalaman berbeza kerana ia filem pertama dan saya mendalami banyak perkara antaranya berguru dengan Fatimah Abu Bakar,” katanya.

Gandingannya dengan Remy juga memberikan kelebihan kerana aktor yang popular menerusi siri drama Nur Kasih ini banyak memberikannya tunjuk ajar dan bantuan.

“Mungkin dia nampak serius dan kurang mesra ketika awal penggambaran tetapi lama-kelamaan kami mula serasi.

“Syukur dengan bantuannya dan pelakon lain, segala kesukaran dapat diatasi sekali gus membuatkan penggambaran filem ini dua tahun lalu berjalan lancar,” katanya.

Menerusi filem berlatar era 40-an itu, Puteri melakonkan watak Che Thom yang menuntutnya melakukan perubahan fizikal, pertuturan, teknik solekan dan pelbagai perkara lagi.


PUTERI bergandingan dengan Remy dalam Pulang. FOTO Rohanis Shukri.

“Sememangnya saya berikan yang terbaik untuk filem ini. Cuma, agak susah untuk menggambarkan babak lakonan yang disuntik dengan elemen imej janaan komputer (CGI).

“Berlakon filem menuntut komitmen lebih tinggi. Set filem sangat besar dan elemen CGI yang dimasukkan pasti akan menjadikannya hebat.

“Saya okey saja sekiranya komen diberikan peminat tidak menyebelahi saya selepas menonton filem ini,” katanya.

Bagi menampakkan cerita yang lebih realistik, suara Fatimah digunakan untuk watak Che Thom dan dia perlu akur dengan kehendak Kabir.

“Bukan mudah melakonkan karakter orang tua. Selain solekan, saya kena jaga cara berjalan. Untuk solekan saja ambil masa beberapa jam.

“Suara Cikgu Fatimah diguna untuk karakter Che Thom apabila sudah berusia. Dia banyak mengajar cara ekspresi watak kerana saya belum pernah berkahwin, melalui pengalaman kehilangan suami dan pelbagai perkara.

“Cuma, kalau diberi peluang, banyak juga yang saya nak buat antaranya memperbaiki gaya dialog ketika Che Thom beralih kepada tua.

“Nada suara saya kecil dan apabila tengok previu, ia masih ketara kedengaran. Saya dah cuba kasarkan ketika ‘dubbing’ tapi kurang berjaya,” katanya.

Filem terbitan Primeworks Studios ini adalah inspirasi daripada kisah hidup sebenar datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studio Datuk Ahmad Izham Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:30 AM