REMY. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Suratan atau kebetulan? Itu yang menjadi tanda tanya Remy Ishak, 36, yang bulu romanya meremang apabila mendapat tahu kisah benar di sebalik filem terbaru lakonannya berjudul Pulang.

Filem arahan Kabir Bhatia itu diadaptasi daripada kisah benar yang dilalui datuk dan nenek kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios Datuk Ahmad Izham Omar.

“Pulang adalah kisah mengenai seorang kelasi bernama Othman, iaitu datuk kepada Ahmad Izham yang merantau ke Liverpool di England untuk mencari kehidupan selesa buat isterinya, Che Thom.

Secara kebetulan, datuk saudara Remy juga pernah bekerja sebagai kelasi dan menetap di Liverpool.

“Menariknya, ketika diberitahu mengenai cerita ini, saya terus terfikirkan datuk saudara,” katanya.

Remy berkata, bulu romanya mula meremang selepas diberitahu Ahmad Izham, dia pernah berjumpa dengan Chief of Malay Sailor Club bagi mendapatkan perincian mengenai jalan cerita Othman.

Apa yang menarik, kelab itu diusahakan datuk saudara Remy dan dari situlah segala cerita antara datuk saudara Remy dan datuk Ahmad Izham mula dibongkar sedikit demi sedikit.

Katanya, walaupun dua individu itu mempunyai kaitan, dia tidaklah terlalu menyelidik personaliti watak dibawa secara mendalam.


REMY bersama pasangannya dalam filem Pulang, Puteri Aishah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

“Saya tidaklah terlalu mendalami watak sebaliknya berpandukan perwatakan yang sudah dimasukkan ke dalam skrip dan kehendak pengarah.

“Apa saya boleh katakan, filem ini mempunyai impak yang kuat sekali. Saya letak diri sebagai penonton, bukan sebagai pelakon ketika menonton sesi tayangan tertutup filem ini,” katanya.

Tanpa berselindung, Remy menganggap filem ini juga mampu dibawa ke tahap lebih tinggi disebabkan pembikinannya yang di luar kotak.

Katanya, Pulang adalah karya yang bercakap soal cinta suami isteri, hubungan keluarga dan sebuah pengharapan.

Lebih menarik, ia berkaitan kehidupan masyarakat dan pastinya penonton dapat memahami serta mengaitkan isu yang dipaparkan terutama sisi komunikasi, kesefahaman serta nilai pengorbanan dilalui pasangan itu.

“Di segi teknik CGI (imej janaan komputer), saya pasti penonton akan lebih menghormati hasil kerja tenaga produksi filem ini,” katanya.

Pulang akan ditayangkan di seluruh negara selepas Aidilfitri nanti.


AHMAD Izham Omar (tiga dari kiri) bersama Pengarah Urusan Penerbitan Karyaseni Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli (tiga dari kanan) hadir merasmikan majlis pelancaran Novel Adaptasi Filem ‘Pulang’ di PWTC bersama Remy dan Puteri Aishah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Sementara itu, sebuah novel dengan judul sama turut dilancarkan baru-baru ini bagi memberi tarikan awal penonton memahami perjalanan kisah yang meruntun jiwa ini.

Novel tulisan Lily Haslina Nasir terbitan Penerbitan Karyaseni dengan kerjasama Primeworks itu dicetak sebanyak 8,000 naskhah.

Ia dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang berakhir semalam.

Ia juga akan dijual di kedai buku ternama seluruh negara mulai pertengahan bulan ini selain boleh dibeli menerusi aplikasi Karyaseni dan Lazada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:21 AM