KEADAAN rumah tiga beradik yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming dan Nasrawati Syarifuddin
cnews@nstp.com.my


TIGA beradik ditemui rentung apabila rumah mereka di Kampung Pegagau, dekat Semporna musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, ketiga-tiga mangsa berusia tiga hingga lima tahun dipercayai terperangkap dalam rumah terbabit dan tidak sempat diselamatkan.

Ketiga-tiga mangsa yang rentung ialah kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dikenali sebagai Puangsa, serta dua lelaki, Emang, 5, dan Botak, 3.

Mayat mereka ditemui di dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 7.47 malam.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba dapati rumah terbabit sudah terbakar 95 peratus.

"Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran selain cuba menyelamatkan mangsa sebelum mereka ditemui rentung sebaik operasi terkawal kira-kira 9 malam," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.43 malam dan mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 2:04 AM