MOHD Taufiq ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Inai, Batang Benar, Nilai. Gambar kecil, gambar kenangan Nurliyana sebelum disahkan menghidap Para Tiroid pada 2016. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Di saat dia (isteri) menderita akibat penyakit ini, saya perlu setia dan menjadi tulang belakangnya. Saya mahu dia terus bersemangat dan cekal menghadapi ujian hidup.

“Mungkin ini semua daripada Allah SWT untuk menguji keimanan hamba-Nya, selepas dia berikan saya hidayah memeluk Islam,” kata Mohd Taufiq Abdullah, 42, suami kepada pesakit Para Tiroid, Nurliyana Abdul Raziff, 32.

Ketabahan dan kesetiaan Mohd Taufiq menjaga Liyana sejak dua tahun lalu membuatkan ramai netizen kagum terhadap pengorbanan yang dilakukan selepas penderitaan isterinya itu disiarkan Harian Metro, kelmarin.

Mohd Taufiq berkata, sebelum mengambil keputusan melamar Nurliyana, isterinya itu sudah memaklumkan kepadanya mengenai masalah kesihatan dialami.

“Usia perkahwinan kami sekarang sembilan tahun. Kami berkenalan pada 2008 ketika bekerja di sebuah kilang sama di Nilai, Negeri Sembilan dan berkahwin pada 1 Januari 2011.

“Sebelum berkahwin Nurliyana beritahu saya dia ada masalah buah pinggang dan mula menjalani rawatan dialisis di Hospital Serdang sejak 2009 lagi. Tapi saya tetap terima Nurliyana dan sedia menjaganya,” katanya.

Dia yang berketurunan suku Kadazan, Sabah berkata, keputusan untuk bergelar lelaki Muslim dibuat selepas tertarik dengan keindahan ajaran agama Islam.

Katanya, apa yang dipelajari dalam Islam sepanjang bergelar lelaki Muslim menjadikan dirinya seorang yang lebih tabah dan cekal menempuh ujian.

“Apa yang kami tempuhi sekarang ini saya anggap sebagai takdir. Saya tetap bersyukur di sebalik kepayahan ini, syukur ramai yang tampil beri sokongan moral dan sumbangan bagi meringankan beban kami,” katanya.


LAPORAN Harian Metro, 4 April. FOTO NSTP

Harian Metro melaporkan penderitaan Nurliyana yang disahkan menghidap Para Tiroid sejak 2016. Kesengsaraan jelas terpapar pada wajahnya apabila tulang rahangnya kini membesar hingga menyebabkan mulut terkeluar dan turut menjejaskan penglihatan.

Malah, lebih memilukan berat badannya menyusut daripada 55 kilogram (kg) hingga kini hanya 23 kg, malah ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.

Bagaimanapun, setakat ini doktor pakar tidak mengesyorkan Nurliyana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tiroid kerana perlu mencari kaedah sesuai berikutan wanita itu menghidap masalah buah pinggang dan jantung.

Masalah kesihatan itu menyukarkan doktor pakar untuk menjalankan pembedahan kerana Nurliyana tidak boleh disuntik ubat bius atau diberikan ubat tidur berikutan keadaan jantungnya yang lemah.

Berita berkaitan

Benjolan mulut makin besar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 9:52 AM