SITI dan suami berdebar tunggu saat kelahiran.
SUAMI insan paling teruja membuat persediaan terutama menghias bilik bayi.
HM Digital

Mengikut perkiraan, Datuk Seri Siti Nurhaliza dijangka melahirkan bayi perempuan minggu depan menerusi pembedahan.

Siti, 39, memilih kaedah pembedahan selepas dinasihatkan doktor, apatah lagi kehamilannya melalui proses penyuburan iaitu In Vitro Fertilization (IVF).

Apa yang pasti, Siti tidak sabar untuk merasai pengalaman menjalani tempoh berpantang seperti ibu yang lain.

“Saya akan memastikan menjalani proses berpantang dengan baik. Ia penting untuk saya dan bayi.

“Apabila semuanya sudah dapat disesuaikan masa dan keadaan, insya-Allah saya kembali memberi tumpuan kepada kerjaya seni. Namun, keluarga tetap keutamaan saya,” katanya.

Berkongsi mengenai perasaannya ketika ini, Siti berkata, dia berdebar dan teruja menunggu saat bersalin. Begitu juga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Bagi Siti, perasaan itu tidak dapat disembunyikan lagi sejak dari awal dia disahkan hamil Ogos tahun lalu.

Tambahan pula, detik itu sudah lama dinanti selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta.

“Saya akui agak berdebar, begitu juga suami walaupun dia tidak tunjuk kepada saya. Namun, suamilah insan paling teruja membuat persediaan, terutama dari segi hiasan bilik bayi.

“Lif pun sudah siap dan ia dibina bukanlah bagi kegunaan Siti saja, tetapi untuk orang lain juga seperti ibu dan ibu mentua.

“Apa yang diharapkan supaya segalanya berjalan dengan baik. Terima kasih kerana ramai yang mendoakan saya. Ini adalah kekuatan saya sebenarnya. Pada masa sama, tentulah saya sangat teruja menunggu saat melahirkan bayi nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan Siti berkongsi nama bayi perempuan yang bakal dilahirkan kelak, Siti bakal mengumumkannya selepas tujuh hari kelahiran.

Siti berkata, keputusan itu hasil persetujuan dengan suami, selain ia juga amalan sunat dalam agama Islam.

“Saya dan suami bersepakat untuk tidak lagi mengumumkan nama bayi yang bakal dilahirkan. Insya-Allah pengumuman akan dibuat selepas tujuh hari kelahiran bayi kami.

“Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, saya ikut apa yang terbaik daripada suami. Dalam perkara ini, saya tidak boleh buat keputusan sendiri.

“Ada ketika, apa yang saya buat dan putuskan, tidak kena pada suami. Jadi, kami perlu berbincang agar semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Comel Pipi Merah meletup di iTunes

Walaupun tidak aktif dalam bidang seni sejak disahkan hamil, Siti tetap mengubat kerinduan peminatnya dengan menghasilkan single baru yang dicipta khas untuk bakal bayi dilahirkan.

Lagu berjudul Comel Pipi Merah ciptaan Siti itu diperdengarkan secara eksklusif sempena perjumpaan kelab peminat Sitizone pada Januari lalu.

Menariknya, lagu yang mulai dilancarkan secara rasmi di semua platform digital sejak 5 Mac lalu kini menduduki tangga teratas dalam carta iTunes Malaysia.

“Alhamdulillah, walaupun belum sampai seminggu, lagu ini sudah berada dalam carta teratas iTunes. Ini adalah tanda sokongan peminat muzik dan penggemar lagu saya.

“Malah ramai yang sudah menantikannya sejak saya nyanyikan pada majlis perjumpaan Sitizone Januari lalu. Terima kasih kepada semua kerana tetap setia mendukung lagu nyanyian saya walaupun tidak aktif sejak hamil,” katanya.

Dari segi promosi lagu, menurut Siti dia menyerahkan perkara itu kepada syarikat pengurusannya, Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP).

“Sejujurnya, sejak album SimetriSiti lagi saya tidak dapat turun padang secara giat untuk promosi dan juga lagu terbaru Comel Pipi Merah ini. Namun syarikat saya, SNP memastikan karya akan berjalan dengan baik, berusaha untuk terus diputarkan di radio, mempromosikan video muzik dan menjadikan lagu daripada album berkenaan sebagai lagu tema drama.

“Saya berharap selepas bersalin nanti, ada kesinambungan untuk terus mempromosikan, mungkin di dalam persembahan atau konsert,” katanya.

Pada masa sama, Siti berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak atau rumah produksi ingin menjadikan lagu Comel Pipi Merah sebagai lagu tema program atau drama.

“Setakat ini belum ada lagi mana-mana produksi yang meminta izin menjadikan lagu ini sebagai lagu tema. Jika ada yang berminat, saya lagi seronok.

“Apa saja yang baik untuk promosi, saya bersetuju. Boleh hubungi pengurusan SNP jika ada produksi yang berminat,” katanya. -Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 5:42 AM