WENGER bimbing Arsenal selama 22 tahun. FOTO AFP
Agensi

London: Jawatan Arsene Wenger dipercayai akan dikaji semula pada musim panas ini sekali gus mencetus prospek berakhirnya regim pengurus dari Perancis itu di Arsenal selama 22 tahun.

Gunners dikatakan sudah pun menyenaraikan senarai calon berpotensi untuk menggantikan Wenger jika khidmatnya dihentikan pada penghujung musim ini.

Bos Monaco, Leonardo Jardim, Ketua Jurulatih Jerman, Joachim Low, jurulatih Celtic Brendan Rodgers dan staf kejurulatihan Manchester City, Mikel Arteta antara calon yang menjadi sebutan.

Difahamkan, desakan untuk Wenger meninggalkan kelab itu daripada kalangan pengurusan tertinggi pada penghujung musim ini kian meningkat.

Sumber mengatakan kedudukan Wenger bertambah parah susulan kekalahan di final Piala Liga kepada Manchester City, awal pagi kelmarin dan beliau perlu menggunakan baki kontraknya dengan sebaik mungkin.

Ia dikatakan bergantung sejauh mana kemampuan Wenger untuk membawa Arsenal kembali ke saingan Liga Juara-Juara - tugasan yang ketika ini dianggap amat mencabar.

Gunners ketika ini ketinggalan 10 mata di belakang pasukan tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham dengan laluan mereka menerusi Liga Europa juga sukar apabila dijadual bertemu gergasi Itali, AC Milan di peringkat 16 terakhir.

Pada musim panas lalu, Wenger diberikan lanjutan kontrak selama dua tahun dengan keputusan itu diperoleh hasil sokongan yang daripada pemilik kelab, Stan Kroenke.

Begitupun, satu lagi kegagalan untuk berada di pentas terbaik Eropah pasti akan mengancam kedudukan kewangan kelab yang kemudian memaksa Kroenke mengubah pandangannya.

Wenger ketika ini dikatakan tidak lagi mendapat sokongan penuh pasukannya dengan beberapa pemain antaranya Aaron Ramsey dan Hector Bellerin dikaitkan dengan perpindahan.

Selain beberapa pengurus ternama, penjaring gol terbanyak kelab, Thierry Henry juga turut dikaitkan sebagai pengganti Wenger.

“Siapa yang tidak mahu menjadi jurulatih Arsenal?” kata Henry kepada Sky Sport, semalam. “Saya adalah peminat Arsenal tetapi ia tidak bermakna ia akan berlaku.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik pintu, tetapi siapa yang tidak berminat dengan kerja itu?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:42 AM