MEK Yam menyuap Mohamad Zul Fahmie yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir.
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


Tumpat: Demi kasih sayang terhadap anaknya yang menghidap celebral palsy atau kelumpuhan otak, seorang ibu sanggup berjaga hingga awal pagi setiap hari untuk menguruskan anak syurganya.

Itulah rutin Mek Yam sejak 12 tahun lalu berikutan anaknya, Mohamad Zul Fahmie Mohd Manzaidi, 12, yang berjaga malam dan hanya tidur antara jam 3 hingga 4 pagi setiap hari.

Situasi itu sudah menjadi kebiasaan untuk ibu kepada enam cahaya mata terbabit, walaupun hanya dapat melelapkan mata sekadar beberapa jam saja selepas anak bongsu daripada enam beradik itu tidur.

“Sejak 12 tahun lalu beginilah keadaannya. Saya hanya boleh melelapkan mata beberapa jam saja kerana Zul Fahmie sering merengek setiap kali dia terjaga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Talak.

Menurutnya, anak istimewanya itu akan menangis dan merengek jika tiada sesiapa di sisinya, malah akan mengamuk jika Mek Yam terlelap ketika kanak-kanak itu belum tidur.

“Menguruskan anak kurang upaya (OKU) berseorangan adalah satu tanggungjawab besar buat saya kerana suami bekerja di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, tiga anak saya yang lain turut bergilir-gilir membantu menguruskan Zul Fahmie. Walaupun menguruskan Zul Fahmie tidak sukar tetapi ia memerlukan bantuan anak lain terutamanya untuk memandikannya kerana perlu didukung.

“Zul Fahmie kerap mengalami sawan dan kejang otot secara tiba-tiba selama beberapa jam disertai muntah dan disebabkan itu, dia tidak boleh dibiarkan berseorangan,” kata Mek Yam yang turut menghidap ulser dalam perut.

Seperti ibu lain, Mek Yam juga berharap anak kesayangannya itu berpeluang menjengah keadaan luar rumah kerana sudah enam tahun kanak-kanak itu tidak terkena sinaran matahari.

Dakwanya, kali terakhir Mohamad Zul Fahmie keluar berjalan-jalan adalah ketika usia enam tahun dan waktu itu dia masih boleh didukung serta diletakkan di dalam kerusi bayi.

“Sudah lama anak saya tidak melihat dunia luar kerana dia perlu diletakkan di atas kerusi roda khas dan kami tidak mampu untuk membelinya.

“Sedangkan untuk perbelanjaannya yang mencecah RM400 sebulan pun bernasib baik kami ada terima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Kami tidak mampu membeli kerusi roda khas untuknya kerana harganya yang mencecah ribuan ringgit dan saya berharap ada insan bermurah hati dapat menghulurkan bantuan bagi mendapatkannya untuk meringankan beban keluarga kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 9:32 AM