Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Ampang: Minat terhadap objek dan simbol comel seperti hati membangkitkan semangat Mohd Hafiz Ahmad Kamarrudin, 35, untuk menghasilkan lukisan doodle di latar pentas sesebuah majlis.

Penolong arkitek itu berkata, lukisan doodle yang dibuat untuk majlis perkahwinan dan hari jadi kini sudah menjadi pendapatan sampingannya.

“Idea ini bermula apabila saya melakar karya doodle untuk latar pentas perkahwinan sendiri pada 2015 kerana saya dan isteri mahu membuat kelainan dalam majlis itu.

“Tidak sangka tema romantik yang dipilih untuk lukisan doodle ketika majlis dilangsungkan dipuji oleh kawan-kawan yang datang dan sebulan kemudian, ahli keluarga terutama isteri memberi pendapat kepada saya untuk menjadikan ia sebagai pekerjaan sampingan,” katanya.

Hafiz berkata, keunikan dan kecantikan hasil lukisan doodle adalah sesuatu yang sangat dikaguminya.

“Saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang seni, tetapi berasakan sepasang tangan yang dimiliki adalah sebagai satu anugerah. Minat melukis ini bermula sejak sekolah rendah lagi dan saya ada juga menang tempat pertama pertandingan lukisan.

“Doodle pertama yang saya hasilkan adalah bermotifkan flora. Bagi saya, motif itu sangat tenang dan tidak terlalu serabut.

“Kebiasaannya saya dapat menyiapkan hasil doodle dalam masa satu atau tiga hari bergantung kepada kelapangan,” katanya.

Bercerita mengenai perniagaan yang dijalankan sejak dua tahun lalu, Hafiz berkata, setiap corak dan lukisan yang dihasilkan adalah mengikut permintaan serta selera pelanggan.

“Ia tidak terhad pada lakaran doodle saja, malah pelanggan boleh meminta lukisan karakter kartun kegemaran.

“Pelanggan boleh memesan apa saja corak yang diinginkan atau memberikan contoh gambar digemari kerana ia adalah tempahan khas menerusi Instagram @kreatif_thing.

“Saya bersyukur kerana setakat ini, ramai pelanggan yang berpuas hati dengan hasil diterima. Malah, saya juga menghasilkannya menggunakan perisian AutoCAD berbanding ada yang menggunakan perisian terkini,” katanya.

Menurutnya, dia turut menerima tempahan termasuk di Sabah dan Sarawak dengan penghantaran dibuat melalui perkhidmatan pos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:54 AM
MOHD Hafiz tekun menyiapkan contoh doodle untuk pelanggan.