RANCAK siapkan rakaman album sulung untuk peminat setia.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Meskipun sibuk melakukan persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu penyanyi Wani Kayrie berjaya mencuri perhatian peminat dengan single keempat berjudul Aku Suka Kamu ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Shazee Ishak.

Namun begitu, untuk kanvas karier nyanyian tahun ini, Wani rancak menyiapkan rakaman album sulung.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berharap impian untuk tampil dengan album penuh dapat direalisasikan. Selain memberikan kepuasan kepada dirinya, kewujudan album sekali gus melengkapkan profilnya sebagai penyanyi.

“Setakat ini, saya sudah ada empat single dan akan muncul dengan single kelima tidak lama lagi.

“Insya-Allah, jika ada rezeki selepas melancarkan single baru, album pula menyusul.

“Saya sangat teruja dan memang tidak sabar menanti saat itu. Bagaimanapun, saya tetap teliti dan akan menghasilkan album bagus buat peminat yang setia menyokong saya selama ini,” katanya.

Wani yang pernah popular dengan single Jangan Jangan pada 2015 mengakui bersyukur kerana tawaran persembahan tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan setiap hujung minggu saya memenuhi undangan persembahan di luar ibu kota.

“Biarpun jarang dapat publisiti, tawaran persembahan tak pernah berkurang.

“Saya percaya rezeki tetap ada jika rajin berusaha. Apa yang pasti, saya takkan lepaskan peluang yang datang,” katanya.

Bercadang bekerjasama dengan komposer Ezra Kong untuk single terbaru, Wani berkata ia masih dalam proses perbincangan.

Ujar anak sulung daripada tiga beradik ini, belajar daripada pengalaman, dia enggan bersikap terburu-buru.

Menurutnya, jika mahu hasilkan single dan album berkualiti, kenalah teliti dalam semua aspek yang pastinya proses itu mengambil masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:59 AM