SYAMEL dan Ernie memukau penonton dengan kehebatan vokal mereka.
ALTIMET mengundang pelakon Nabila Huda pada persembahannya.
HAQIEM Rusli sebak ketika menyanyikan lagu Tergantung Sepi.
HAEL berjaya ‘menyihirkan’ penonton menerusi lagu Jampi.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu menyaksikan lagu Jampi Ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong dijulang sebagai juara.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000.

Ternyata lagu nyanyian Hael berjaya ‘menyihir’ hati juri dan setiap penonton yang hadir sekali gus melakar catatan terindah dalam portfolio seninya serta memperlihatkan bintang muda diangkat sebagai pemenang.

Siapa sangka keikhlasan dan kejujuran dalam menyiapkan buah tangan sulung selepas tampil solo memberi ganjaran berganda buat jejaka kacak ini.

Bertemu Hael usai acara berprestij itu, dia bersyukur dengan kemenangan itu malah sama sekali tidak menjangkakannya.

“Saya tidak pernah terfikir Jampi akan dijulang setinggi ini. Saya juga tidak meramal lagu ini mampu menambat hati pendengar.

“Bagaimanapun, inilah yang dinamakan rezeki dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan mengangkat lagu ini sebagai juara AJL32,” katanya.

Kata Hael, sebagai artis baru dia mengakui ada lagi yang lebih layak dinobatkan sebagai pemenang namun kuasa itu terletak pada tangan juri.

“Menyentuh mengenai persaingan, diakui sangat sengit kerana karya yang dipertandingkan hebat-hebat belaka.

“Sudah terpilih bertanding di pentas AJL32 satu kemenangan dan detik paling saya banggakan. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang 2017,” katanya.

Hael berkata, dia ingin memberikan kredit kepada Ezra kerana nampak bakatnya sebagai penulis lagu.

“Sejak kecil saya mahu jadi penyanyi, secara tidak langsung ia buka ruang untuk bergelar komposer dan penulis lirik.

“Saya berterima kasih kepada Ezra kerana nampak kemampuan saya dan sudi beri peluang untuk mencipta lagu,” katanya.

Ketua juri AJL32, Azmeer berkata Jampi diangkat sebagai juara kerana keindahan melodi dan liriknya yang menakluki setiap pelosok tanah air sehingga menjadi tular.

“Lagu Jampi menjadi siulan dimana-mana saja. Setiap orang, tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa bercakap mengenai lagu ini. Jadi tidak dapat disangkal lagi lagu ini layak dinobat sebagai juara.

“Lagipun, susunan lagu, melodi dan persembahan Hael pada malam kemuncak AJL32 sememangnya hebat.

“Dia menyampaikan lagu ini dengan berkesan. Tambahan pula liriknya bukan mudah dihasilkan. Banyak aspek diambil kira hingga semua juri sepakat memilih Jampi sebagai juara,” katanya.

Selain kemenangan Jampi, lagu Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan dendangan Azmi Caliph Buskers memenangi tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM35,000, manakala lagu Tergantung Sepi nyanyian Haqiem Rusli yang dihasilkan Ibnu dan Gouffran berada di tempat ketiga. Mereka menerima wang tunai RM20,000.

Persembahan Terbaik menjadi milik Altimet yang mendendangkan lagu Amboi, manakala Vokal Terbaik menjadi milik Syamel dan Ernie Zakri menerusi lagu Aku Cinta.

Khai Bahar pula mendominasi anugerah Penyanyi Pilihan Samsung yang melayakkannya menerima telefon pintar Samsung A8.

AJL32 turut mencipta sejarah apabila posisi Vokal Terbaik yang dimenangi Dayang Nurfaizah selama tiga tahun berturut-turut beralih ke tangan pasangan duet Syamel dan Ernie Zakri.

Azmeer berkata, ada penyanyi membuktikan mereka memiliki suara yang hebat malah ada juga sebaliknya namun semua juri mengagumi vokal Syamel dan Erni yang sempurna.

“Kehebatan Dayang memang diakui ramai. Dia memiliki kekuatan itu namun lagu Aku Cinta lebih sukar dibawa dan bernada tinggi.

“Saya tidak boleh menolak lagu nyanyian Syamel dan Ernie sangat baik dan tiada not yang sumbang. Mereka menyampaikannya dengan berkesan dan sangat memukau,” katanya.

Sementara itu Ernie tidak menjangkakan kemenangannya kerana kehebatan vokal Salma dan Dayang membuatkan dia serta Syamel terduduk.

“Kami terduduk melihat persembahan Dayang dan Salma. Mereka penyanyi berbakat besar dan luar biasa.

“Saya dan Syamel geleng kepala melihat mereka mampu menyampaikan nada tinggi dengan baik sekali,” katanya.

Malam kemuncak AJL32 diacarakan Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Acara berprestij itu turut menyaksikan persembahan pembukaan yang cukup bertenaga daripada Stacy diiringi gitaris AG Coco dan Edrie Hashim serta Waris menerusi lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.

Sementara itu, persembahan ‘interlude’ daripada Datuk Awie, Datuk Jefrydin, Datuk A Rahman Hassan dan Siti Sarah meriah dengan lagu pop yeh yeh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 2:58 AM