HAEL Husaini bersama trofi dan hadiah kemenangan pada AJL 32 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


LAGU Jampi ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini dendangan Hael Husaini membolot trofi berprestij apabila diumumkan sebagai juara pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32), di sini, malam ini.

Acara yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu dipancarkan secara langsung di TV3.

Lagu itu membawa pulang RM50,000 berserta trofi dan baucer CJ WOW Shop RM10,000.

Tempat kedua menjadi milik lagu Sejati nyanyian Azmi Caliph Busker sekali gus menerima hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi dan baucer CJ Wow Shop RM2,000.

Tempat ketiga pula dimenangi lagu Tergantung Sepi nyanyian Haqiem Rusli untuk menerima wang tunai RM20,000 berserta trofi dan baucer CJ Wow Shop RM2,000.

Bagi kategori Vokal Terbaik dimenangi pasangan duet Syamel dan Ernie Zakri sekali gus menewaskan Dayang Nurfaizah yang menang tiga tahun berturut-turut, sebelum ini.

Syamel dan Erni yang menyanyikan lagu Aku Cinta menerima RM12,000 berserta trofi dan baucer CJ Wow Shop RM2,000.

Selain itu, Altimet menerusi lagu Amboi diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik yang memenangi RM12,000 berserta trofi, baucer CJ Wow Shop RM2,000 dan telefon pintar Samsung A8.

Penyanyi Khai Bahar tidak pulang tangan kosong apabila memenangi Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung yang membawa pulang trofi dan telefon pintar Samsung A8 plus (A8+).

AJL 32 bertemakan Fesyen dan Muzik mengambil kira transisi fesyen yang sentiasa berubah dari 1986 hingga sekarang.

Tambah menarik, trofi AJL buat pertama kalinya mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini dengan menyelitkan gabungan dua elemen itu pada piala berkenaan.

Malam kemuncak AJL 32 diacarakan Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Acara berprestij itu juga menyaksikan aksi hebat menerusi persembahan pembukaan cukup bertenaga daripada Stacy diiringi gitaris AG Coco dan Edrie Hashim serta Waris menerusi lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.

Sementara persembahan interlude pula daripada Datuk Awie, Datuk Jefrydin, Datuk A Rahman Hassan dan Siti Sarah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 12:30 AM