JADI perempuan lorong dalam drama 20 episod, Nur.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Selepas beberapa bulan berehat, pelakon Amyra Rosli, 26, sudah bersedia untuk kembali aktif berlakon.

Ibu kepada Aqeef Anaqi yang kini berusia empat bulan ini akan terikat dengan penggambaran Nur arahan Shahrul Ezad Mohameddin pada hujung bulan nanti. Drama 20 episod itu bakal mengisi slot Samarinda siaran TV3 untuk tayangan istimewa sempena Ramadan.

Becerita mengenai drama barunya, Amyra berkata, dia akan melakonkan watak berat dan mencabar.

“Saya melakonkan watak utama sebagai Nur, perempuan lorong yang tersasar di jalan gelap. Bagi kemunculan semula selepas melahirkan anak, watak ini sangat berat buat saya.

“Dengan status sebagai isteri dan ibu, sebenarnya berdebar juga untuk saya lakonkan watak ini. Namun, saya tidak mahu melepaskan peluang ini kerana tertarik dengan jalan cerita dan karakter Nur,” katanya.

Isteri kepada pelakon Amar Baharin ini berkata, sudah tiba masa untuknya mencabar kemampuan diri dengan membawakan watak berat.

Pemilik nama sebenar Nurul Amirah Izzati Rosli ini juga sudah sedia bermain dengan pelbagai emosi bagi menghidupkan karakter itu.

“Sebelum bersetuju menerima tawaran ini, saya sudah berbincang dengan suami.

“Dia tidak menghalang kerana kami saling menyokong kerjaya lakonan masing-masing. Malah, kami tahu jaga batas ketika menjiwai watak. Sebagai isteri, saya perlu jaga nama baik suami, ibu bapa dan mentua,” katanya.

Menurut Amyra lagi, dia juga akan sentiasa berbincang dengan pengarah bagi melancarkan urusan kerjanya.

Mengulas soal kecaman yang mungkin dihadapinya, Amyra berkata, dia lebih selesa melihat sesuatu perkara itu pada sudut positif.

“Selama ini, saya memang tidak pernah layan kecaman atau komen negatif netizen.

“Bagi saya, untuk apa sesakkan kepala dengan memikirkan kata-kata orang. Penat nanti, mereka akan berhenti dengan sendirinya. Lagipun, kalau ada yang benci dengan karakter Nur bermakna lakonan saya menjadi,” katanya.

Meski tawaran berlakon tidak pernah putus sepanjang dia ‘bercuti’, Amyra mengakui dirinya kini lebih memilih.

“Saya tidak akan terburu-buru membuat keputusan, semuanya bergantung pada jalan cerita skrip dan karakter.

“Soal dengan siapa saya berlakon, itu tidak ada masalah kerana saya boleh bekerja dengan semua orang,” katanya.

Makin selesa urus anak

Meskipun masih giat belajar urusan penjagaan anak, Amyra mengakui dia makin cekap dan selesa.

Katanya, dia beruntung Amar dan ibunya banyak membantu serta Aqeef Anaqi pula tidak meragam.

“Syukur, menjaga Aqeef Anaqi sangat mudah. Saya kini makin cekap dalam urusan jagaan hariannya.

“Cukup tidur dan susu, sudah okey buat Aqeef Anaqi. Jadi, perlu peka saja pada waktu tidur dan laparnya,” kata Amyra.

Mengulas mengenai kesediaannya untuk berjauhan dengan Aqeef Anaqi apabila sudah bekerja semula, Amyra berkata, dia akur dengan tuntutan kerja.

“Saya sedar masa dengan anak akan terhad apabila aktif berlakon semula. Namun, inilah pengorbanan.

“Sudah tiba masa saya bekerja dan saya juga tidak perlu bimbang kerana Aqeef Anaqi dijaga oleh mama,” katanya.

Naluri ibu, dia bagaimanapun mengakui pasti merindui anaknya itu apabila perlu keluar bekerja dalam tempoh lama.

“Apapun, saya akan lebih tenang kerana anak dalam jagaan keluarga.

“Malah, saya juga tahu Amar pasti membawa Aqeef Anaqi ke lokasi penggambaran sekali-sekala untuk luangkan masa bersama saya,” katanya.

Amyra berkata, sejak zaman bercinta hingga berkahwin, suaminya itu pasti datang ke lokasi penggambaran jika tidak terikat dengan kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 9:31 AM