Mohd Nasir bersama Dg Patimah yang juga OKU berkahwin hari ini. FOTO Amniera Naziera Amran
Amniera Naziera Amran
hmkk@hmetro.com.my


“INILAH saat yang dinanti-nantikan, kami akhirnya sah bergelar suami isteri," kata Mohd Nasir Ahmad, 52, yang menikahi wanita orang kurang upaya (OKU) Dg Patimah Matali, 47, di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, hari ini.

Mohd Nasir berkata, dia menerima isterinya yang kudung kaki dan tangan sejak lahir itu seadanya serta akan berusaha menjadi ketua keluarga yang baik.

Katanya, dia sangat teruja dan sedikit gementar dihadapan imam sehingga terpaksa mengulangi lafaz akad nikah sebanyak dua kali pada majlis yang dihadiri lebih 100 ahli keluarga serta tetamu.

"Lafaz nikah bukan sekadar kata-kata malah ianya satu janji sebagai amanah menjaga isteri.

"Saya menerimanya seadanya dan berharap jodoh perkahwinan ini kekal hingga ke jannah," katanya ketika ditemui selepas majlis persandingan di rumah keluarga isterinya, hari ini.

Mohd Nasir mengakui mereka mula rapat selepas keluarga mentua, Matali Ismail, 88, dan Dayang Salmah Pangiran Hassan, 73, sering mengajaknya makan bersama-sama sebelum bertunang dua bulan lalu.

Katanya, pengalaman pernah berkahwin dua kali sebelum ini juga memberi pengajaran supaya lebih menghargai pasangan dan bijak untuk menguruskan rumahtangga.

Sementara itu, Dg Patimah berkata, dia bersyukur kerana akhirnya sah bergelar isteri kepada Mohd Nasir.

Katanya, dia berharap supaya sikap lelaki itu yang lemah lembut dan penyabar akan berkekalan walaupun akan menempu pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang berumahtangga.

"Sudah pasti saya sangat gembira apabila Mohd Nasir sudi memperisterikan saya dan berdoa supaya kami dikurniakan cahaya mata selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 6:50 PM