RITA Rudaini. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Melangkah ke 2018, tinggi dan besar cita-cita pelakon jelita Rita Rudaini untuk menjadikan tahun ini jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Malah, tahun ini juga Rita, 42, nekad membuka lembaran baru dalam hidupnya. Dia ingin melupakan segala peristiwa duka yang membuatkan hidupnya dirundung masalah.

Tidak mahu mengungkit atau membangkit cerita yang boleh mencalar lagi namanya, Rita dengan penuh harapan ingin mewarnai hidupnya dengan cerita yang indah saja.

Apatah lagi dengan penambahan setahun lagi usia, Rita berasakan sudah tiba masa dia mengatur strategi baru dalam kerjaya seninya.

“Tidak dinafikan 2017 memberikan ujian dan cabaran untuk saya apabila nama terkait dalam kontroversi. Namun, perkara ini berlalu begitu saja sekali gus membuktikan apa yang terjadi sekadar gosip.

“Diakui perkara ini sedikit sebanyak mengganggu emosi. Pada masa sama, saya pula perlu bekerja seperti biasa dan membesarkan dua anak. Bukan mudah untuk laluinya, tetapi saya sedar ada perkara yang lebih penting.

“Saya berdepan dan lalui dengan berlapang dada. Saya reda dengan setiap apa yang dilemparkan netizen di laman sosial. Namun, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Ternyata Allah mahu gantikan dengan sesuatu yang lebih indah,” katanya.

Menurut Rita, apa yang menimpa dirinya itu dianggap permainan industri hiburan yang sedikit pun tidak meninggalkan kudis untuknya.

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang lakonan, Rita menyifatkan kisah yang sengaja disensasikan itu hanya sekelumit jika mahu dibandingkan dengan kisah pergolakan rumah tangga bersama bekas suami, Aidil Zafuan.

“Semua tahu kisah dan perjalanan hidup saya macam mana terutama perkahwinan dibina. Selama beberapa tahun saya melaluinya seorang diri dengan membesarkan dua anak selain turun naik mahkamah memperjuangkan nasib.

“Orang nampak saya gembira, tetapi dalam hati siapa tahu. Saya hanya manusia biasa yang juga punya hati dan perasaan. Namun, demi dua anak saya tak kisah untuk terus berjuang mendapatkan hak sepatutnya. Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya dan kemenangan berpihak kepada saya.

“Bagi saya, ini semua lebih mematangkan hidup untuk berdepan perkara yang lebih mencabar. Seperkara yang saya pegang dari dulu sampai sekarang adalah jangan cepat melatah. Cuma, saya tidak suka jika ada segelintir pihak yang melihat apa berlaku berpunca daripada saya. Saya selalu pesan, mereka yang tak berada di tempat saya, jangan hanya pandai cakap saja,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang, Rita sudah lama ‘move on’ dan mencari kehidupan yang lebih baik demi kelangsungan hidup mereka anak-beranak.

Rita berkata, fokus dan keutamaan kini adalah anak dan kerjaya. Dia seronok dapat melihat Airit Rayyan, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, membesar depan mata.

Malah, Rita juga tidak kisah jika perlu bekerja pagi, petang, siang dan malam demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik buat permata hatinya itu.


RITA Rudaini. FOTO Blackpepper Production

“Apabila anak kedua, Arjuna sudah melangkah ke sekolah rendah, saya perlu kerja lebih. Saya seorang tanggung dan bela anak. Saya tak ada siapa yang bela. Namun alhamdulillah, rezeki anak ada. Cukup makan dan pakai, saya bersyukur.

“Saya juga tiada pembantu rumah atau pembantu peribadi. Memang saya jaga anak seorang. Saya ini jenis mak-mak sikit, nak jaga sendiri dan melihat anak depan mata. Ini paling penting dalam hidup saya,” katanya.

Rita bersyukur apabila kedua-dua anaknya pandai berdikari dan mendengar kata.

“Ini masa paling bernilai melihat mereka membesar depan mata. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik. Saya akan bagi yang terbaik untuk anak sebab mereka adalah syurga saya,” katanya.

Seronok jadi pengacara

Satu pemulaan baik untuk tahun ini apabila Rita dipilih menjadi pengacara program Wow Sangat yang bersiaran setiap Ahad jam 9 malam.

Program jualan dalam talian itu memerlukan Rita berkongsi kepada penonton mengenai kelebihan dan kebaikan produk yang dijual.

“Alhamdulillah, saya anggap ini rezeki. Ini peluang baru untuk melangkah dalam bidang pengacaraan yang sangat asing buat saya. Diakui saya memang gementar kerana ia program secara langsung.

“Sebelum ini saya pernah mengacarakan Anugerah DFKL pada tahun lalu, namun program ini jauh berbeza. Ia memerlukan skil komunikasi untuk menarik penonton agar membeli barang. Jadi, ia satu cabaran baru untuk saya.

“Alhamdulillah, episod pertama berlangsung dengan baik. Saya menerima maklum balas positif. Cuma, saya berasakan masih banyak yang perlu diperbaiki. Saya orang baru belajar, jadi tidak semuanya sempurna,” katanya.

Rita berkata, sejak mengacarakan DFKL 2017, dia mulai jatuh cinta dalam bidang pengacaraan. Malah, Rita akui dia mendapat banyak tawaran mengacara majlis makan malam.

“Macam saya katakan tadi, tahun ini memang nak fokus kerja saja. Jadi, setiap peluang yang datang saya nak ambil dan jadikan ia pengalaman baru. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Usia pula bukan makin muda.

“Saya belajar sedikit demi sedikit. Setiap komen saya ambil untuk perbaiki diri. Terima kasih kepada semua yang masih percaya bakat saya,” katanya.

Mengenai kerjaya lakonan, Rita muncul dalam telefilem khas Anugerah Juara Lagu iaitu Datin Glam yang disiarkan malam ini menerusi slot Cerekarama di TV3.

Selain itu, Rita juga terbabit dalam telefilem Terlakur Janji Suci lakonan bersama Beto Kusyairi, Ika Nabella dan Mimi Lana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:44 AM