ADRIAN bersama baju anak patung yang direkanya.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Subang Jaya: Kebanyakan patung mainan kanak-kanak perempuan yang berada di pasaran dikenakan dengan pelbagai pakaian ala barat.

Berbeza dengan Adrian Ong, 57, yang tampil mereka pakaian Muslimah berhijab selain pakaian tradisional pelbagai kaum di Malaysia pada patung berkenaan.

Apa yang membuatkan lelaki berdarah Baba Nyonya berasal dari Kampung Lapan, Melaka ini lebih istimewa berbanding individu lain adalah koleksi pakaian patung yang direkanya dijual dan wang daripada hasil jualan disalurkan kepada badan kebajikan bagi membantu ibu dan bapa tunggal tanpa mengira kaum.

Adrian, pereka fesyen ketika suatu ketika dahulu pernah mereka baju perkahwinan pelakon Vanida Imran dan Rashidi Ishak, Datuk AC Mizal dan Datin Emylia serta beberapa kenamaan lain.

Bagaimanapun, dia mula memperlahankan kariernya dalam bidang rekaan fesyen sebelum memberi tumpuan kepada kerja amal dengan menyertai Parent Without Partner Bhd (PWP) satu badan bukan kerajaan 10 tahun lalu.

Adrian berkata, dia mengambil masa lima tahun untuk membiasakan diri daripada seorang pereka fesyen kepada melakukan kerja kebajikan.


ADRIAN Ong.

“Menerusi PWP, kami menubuhkan sebuah kedai Jumble Station (JS) yang mana kedai ini menerima barang terpakai yang masih elok sebelum diserahkan kepada ibu dan bapa tunggal selain barang terpakai berkenaan turut dijual dan hasil jualannya digunakan membantu golongan memerlukan.

“Ketika itu, Mary Ann Tan sebagai mentor saya dan banyak membantu menguruskan PWP sebelum wanita itu berhijrah ke Australia dan saya mengambil teraju utama PWP dengan membantu ibu bapa tunggal tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika menguruskan JS, dia banyak menerima patung daripada orang ramai sebelum timbul idea mengaplikasikan kemahiran dan minat mereka pakaian tradisional masyarakat Malaysia menggunakan pakaian terpakai yang disumbangkan orang ramai.

“Dengan menggunakan patung dan pakaian terpakai, saya mula mereka pelbagai pakaian tradisional termasuk pakaian Muslimah berhijab, lebih-lebih lagi saya sendiri meminati penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan mengambil ilham daripada pakaiannya untuk mereka baju pada patung.

“Sehingga kini saya sudah mereka lebih 400 pakaian tradisional seperti kebaya, baju kurung, cheongsam, pakaian tradisional masyarakat India, baju perkahwinan Baba Nyonya, kebaya Nyonya, pakaian tradisional masyarakat Punjabi dan sudah semestinya pakaian Muslimah berhijab,” katanya yang pernah memiliki dua butik pakaian di Lembah Klang pada 2005.


REKAAN Adrian sangat teliti dan halus serta memikat.

Harian Metro yang melihat rekaan pakaian pada patung berkenaan terpegun dengan setiap perincian rekaan Adrian kerana hasil kerjanya sangat teliti selain hampir 90 peratus memang mengikut setiap rekaan asal dengan aksesori seperti labuci, manik, bunga, selain aksesori seperti rantai, sanggul cucuk dan mahkota.

Adrian berkata, dia mengambil masa dua minggu hingga sebulan bagi menyiapkan setiap rekaan, malah sanggup berjaga sehingga subuh sekiranya idea sedang mencurah-curah.

“Memang memenatkan lebih-lebih lagi ketika membuat aksesorinya. Rantai, sanggul cucuk dan mahkota juga dibuat sendiri menggunakan besi nipis yang dibentuk dan dipotong sendiri,” katanya yang mengeluarkan sedikit modal sendiri bagi setiap rekaan.

Menurut Adrian, dia kini sedang menyiapkan beberapa rekaan lagi selain menunggu stok kasut, stand (alat untuk mendirikan patung) yang ditempah di China sebelum ia mula dipamer dan dipasarkan.

“Saya belum mula menjualnya kerana masih menunggu ‘stand’ dan kasut dari China. Rekaan ini akan dijual dengan jenama PWP dan rekaan oleh saya sendiri.

“Saya juga sedang mencari tempat sesuai untuk mempamerkan patung ini selain merancang untuk menjualnya melalui atas talian.

“Malah orang ramai yang mahu mereka pakaian patung mengikut citarasa atau mengikut pakaian kahwin mereka, pelanggan boleh menghubungi saya melalui Facebook Jumblestation PWP, emel adrianong60.gmail.com atau emel jumblestation@gmail.com.

“Pengumpul atau peminat pakaian tradisional yang berminat juga boleh membeli sambil beramal. Saya memang meminati pakaian tradisional dan dengan wujudnya platform seperti ini akan memperkenalkan pakaian tradisional ini kepada masyarakat luar terutama golongan muda yang dilihat semakin tidak meminati budaya kita,” katanya.


PATUNG berhijab yang direka Adrian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:43 AM