MAJLIS kesyukuran dan cukur jambul Aqeef. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Mahligai cinta pasangan selebriti Amar Mohd Baharin dan Nur Amira Izzati Rosli semakin berseri dengan kehadiran putera sulung mereka, Aqeef Anaqi yang kini baru berusia dua bulan.

Walaupun ramai memandang negatif keputusan pasangan ini untuk merahsiakan nama serta wajah Aqeef namun mereka punya sebab kukuh untuk berbuat sedemikian.

Bukan niat mahu membiarkan peminat ternanti-nanti tetapi mereka sebenarnya terikat dengan kontrak. Bagaimanapun, serentak tayangan program realiti The Adventure of Aqeef Amyramar, mereka mengumumkan nama dan memuat naik wajah penuh Aqeef di laman sosial Instagram. Bakal kembali ke lokasi penggambaran tahun depan, pasangan romantik ini masih memikirkan sama ada mahu mengambil pembantu untuk menjaga Aqeef atau sebaliknya.

Kata Amyra, dia akan memulakan penggambaran pada Februari depan untuk drama slot Samarinda. Sementara itu, Aqeef akan dijaga ibunya.

“Macam-macam cerita membabitkan anak kecil mutakhir ini. Ia sekali gus membuatkan kami susah mempercayai orang lain menjaga Aqeef.

“Mahu cari yang boleh menjaga bayi dengan baik bukannya mudah. Jadi, buat sementara waktu mama yang akan menjaga anak kami.

“Kalau kami ambil pembantu pun, dia hanya akan membantu mama menguruskan Aqeef,” kata Amyra.


AQEEF. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Sementara itu, Amar pula bakal memulakan penggambaran drama 100 episod pada Januari nanti.

Sama ada Amar mahupun Amyra, kedua-duanya popular. Pastinya ramai peminat mahu merakamkan gambar kenangan bersama keluarga kecil itu.

Sebagai individu yang dikenali, mereka seboleh-bolehnya ingin memenuhi permintaan itu namun jika Aqeef meragam kedua-duanya berharap peminat memahami situasi berkenaan.

“Kami tidak ada masalah jika peminat mahu bergambar. Kami faham mereka teruja untuk ambil gambar Aqeef.

“Selagi dia tidak menangis, ambilah seberapa banyak gambar yang diperlukan. Tetapi, kalau dia sudah tidak selesa kami harap orang faham ketika itu keutamaan kami adalah Aqeef.

“Saya bersyukur kerana Aqeef mudah diuruskan. Dia hanya akan menangis apabila lapar atau lampin penuh,” kata Amar.

Buat sementara waktu, Aqeef belum dibawa menghadiri mana-mana majlis kerana usianya masih kecil. Mereka akan membawa putera comel itu bersama apabila daya tahan tubuhnya lebih kuat.

Tidak terkesan persepsi negatif

Sejak bergelar pelakon, Amar dan Amyra sudah lali dengan cacian netizen. Selepas dikurniakan cahaya mata, anak kecil itu turut terkena tempias apabila dibandingkan dengan anak selebirti lain.

Begitu juga dengan tindakan Amyra yang ‘menayang’ botol susu di laman sosial. Netizen membuat spekulasi Amyra tidak memberikan susu badan kepada anaknya.

Amyra berkata, dia sedikit pun tidak terkesan dengan komen negatif sedemikian walaupun ketika itu sedang berpantang.

“Saya dikelilingi mereka yang positif. Lagipun, saya bukan jenis melayan persepsi negatif. Saya tidak kisah dan tak peduli pun apa yang netizen katakan.

“Saya tayang botol susu sebab itu pemberian. Saya teruja untuk berkongsi hadiah itu dan membantu mempromosikannya.

“Takkan saya muat naik gambar sedang menyusukan dia pula? Kalau gambar itu yang naik nanti ada yang cakap macam-macam juga.

“Saya pun tidak tahu apa yang mereka tidak puas hati, setiap hari ada saja tak kena di mata mereka. Mungkin juga sekadar ingin menarik perhatian supaya kami balas komen yang diberikan,” kata Amyra.


BAPA Amyra pada majlis kesyukuran. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Bagi Amar pula, situasi itu menjadikan mereka semakin matang. Walaupun ada kata-kata yang mengguris hati, tidak terlintas di fikiran untuk membidas kembali.

“Lebih baik biarkan saja. Kalau balas nampak kita yang tak profesional.

“Laman sosial ini sering disalah guna. Mereka akan terus bercakap ikut suka hati. Jadi, kita yang kena bijak mengawal emosi,” katanya.

Pasangan ini ditemui pada majlis kesyukuran dan cukur jambul Aqeef yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Amyra dan Amar yang manis dalam persalinan rona putih berkata, mereka sepakat memilih tarikh itu untuk memastikan Amyra selesai berpantang selain sesuai untuk rakaman program The Adventure of Aqeef Amyramar.

“Kami memilih tarikh ini sebab Aqeef sudah besar sikit dan Amyra habis berpantang. Ia juga sesuai untuk rakaman program realiti kami.

“Paparan majlis kesyukuran ini akan ditayangkan pada episod terakhir. Dalam program ini, Amyra akan berkongsi tip penjagaan ketika hamil dan proses berpantang,” kata Amar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 6:46 AM