Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


SUKAN papan selaju atau 'skateboarding' dengan Ahmad Fadzil Musa umpama irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan sejak 28 tahun lalu.

Ketika berusia 13 tahun, pantang ada masa terluang, tangan Ahmad Fadzil, 41, atau lebih dikenali dengan nama Pa'din Musa laju menyambar 'skateboard' untuk keluar bermain sambil mengasah 'skil' sebaik tamat waktu persekolahan.

Pada waktu itu, penerimaan terhadap sukan ini agak negatif dan Pa’Din terpaksa menelan saja kata-kata itu yang langsung tidak menjatuhkan semangatnya.

Dibiarkan saja pandangan serong itu bagai angin yang berlalu, dia yang kini bukan calang-calang apabila dianggap 'legenda' dalam sukan 'skateboarding' negara.

Menemui jiwa dan keseronokan setiap kali beraksi, Pa'din memenangi pertandingan pertama ketika berusia 18 tahun di Alor Setar, Kedah.


KEMAHIRAN Pa'din menghasilkan dua pingat emas di Sukan X Asia pada 2000 dan 2004. FOTO Mikail Ong

"Papan selaju pertama saya hanya berharga RM59.90 dan saya mahir pada usia 17 tahun. Selepas menang pertandingan pertama, saya ke Kuala Lumpur untuk menyertai lebih banyak pertandingan.

"Pertandingan antarabangsa pertama disertai adalah pada 2000 di Phuket, Thailand iaitu Sukan X Asia tetapi bertanding atas kapasiti individu," katanya kepada Harian Metro di Hin Bus Depot, Jalan Gurdwara, Georgetown, baru-baru ini.

Namun, di papan markah pada ketika itu, nama Pa'din Musa diletakkan sebagai dari Malaysia, sekaligus dirinya menganggap bertanding sebagai wakil negara.

Lebih manis, dia memenangi pingat emas pada kejohanan itu diikuti satu lagi pingat emas untuk negara di sukan sama pada edisi 2004 di Kuala Lumpur.


KEMAHIRAN Pa'din menghasilkan dua pingat emas di Sukan X Asia pada 2000 dan 2004. FOTO Mikail Ong

Sehingga kini belum ada lagi atlet atau pemain papan selaju negara yang memenangi pingat emas dalam kejohanan itu.

Ia turut menyaksikan Pa’din menjadi satu-satunya peserta negara yang bersaing di Sukan X Musim Panas di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2004.

"Dalam dunia 'skateboarding', saya rasa sudah lengkap. Tiada apa lagi yang mahu dibuktikan kerana saya sudah buat macam-macam.

"Beraksi di 'skatepark' di Amerika Syarikat, meluncur bersama idola saya, Eric Koston dan bertanding bersama-sama dengan peluncur profesional di Sukan X Asia, perasaan itu sukar digambarkan.

"Paling 'best', 2 Disember ini, Vans Malaysia akan keluarkan kasut ‘signature colorway profesional’ saya dan ini memang menjadi impian setiap peluncur," katanya yang berasal dari Kampung Bagan Belat, Pulau Pinang.


PA'DIN Musa menunjukkan kasut signature colorway profesional keluaran Vans. FOTO Mikail Ong

Bercerita mengenai kasut itu, Pa'din adalah peluncur profesional pertama di Asia Tenggara yang mempunyai kasut signature colorway profesional keluaran syarikat Amerika Syarikat, Vans.

"Bila Vans Malaysia datang kepada saya dua tahun lalu untuk kolaborasi ini, dalam hati, betul ke? Macam tak percaya tetapi ini adalah peluang dan impian saya.

"Proses nak tentukan warna itu pun agak lama kerana banyak rekaan dan warna sudah dikeluarkan Vans. Pada satu hari, ketika menunggang motosikal bersama rakan, saya nampak jaket yang dia pakai dengan warna yang unik.

"Jadi saya cadangkan kepada pereka untuk gunakan warna itu dan mereka setuju, warna yang digunakan untuk kasut ini ialah sitrus, hitam dan kelabu," katanya.


PA'DIN Musa menunjukkan kasut signature colorway profesional keluaran Vans. FOTO Mikail Ong

Pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Port Dickson ini berkata, rekaan kasut ini juga adalah adaptasi daripada minatnya menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Antaranya belang kuning pada tapak kasut iaitu simbolik laluan pejalan kaki dan corak zig zag pada bahagian tepi yang juga corak bunga tayar motosikalnya.

"Paling saya tekankan dan mahu adalah pantun pada bahagian dalam kasut kerana pantun yang dipilih ini adalah cukup sinonim dengan rakyat Malaysia.

"Jadi, anak saya yang berusia sembilan dan enam tahun, Muhammad Faheem dan Muhammad Fayyad menggunakan tulisan mereka untuk pantun itu. Seorang tulis sebelah kanan, seorang lagi kiri," katanya.

Pa'din mahu elemen pantun itu menjadi identiti negara, supaya sesiapa saja yang membeli kasut itu tahu ia datangnya dari Malaysia.


PANTUN pada bahagian dalam kasut dalam tulisan anak Pa'Din, Muhammad Faheem dan Muhammad Fayyad. FOTO Vans Malaysia

Memandang ke hadapan, Pa'din berkata, dia berharap agar lebih banyak 'skatepark' yang mengikut spesifikasi sebenar dibina, selain melihat sukan ini sesuatu yang berfaedah dan menyeronokkan.

"Kalau boleh lebih banyak 'skatepark' dibina kerana setakat ini, saya menjadi perunding untuk 'skatepark' di Putrajaya dan syarikat saya PH Skatepark Sdn Bhd membina satu di Pasir Gudang, Johor yang berkeluasan 1,459 meter persegi.

"Satu lagi yang sedang dalam pembinaan dan akan siap tidak lama lagi adalah di Paradigm Mall, Johor Bahru yang berkeluasan 334 meter persegi di dalam bangunan," katanya.


KASUT signature colorway profesional atlet skateboard Malaysia, Pa'din Musa. FOTO Vans Malaysia

Tambahnya, kini lebih banyak syarikat tempatan mengeluarkan papan selaju dan ramai tenaga pengajar yang boleh berkongsi pengetahuan mengenai sukan ini.

"Saya tidak akan mengajar secara formal. Saya lebih suka pergi 'skatepark' dan kalau orang datang kepada saya dan minta ajar, saya akan ajar.

"Saya tidak buka kelas kerana biarlah diberi kepada rakan-rakan yang suka untuk mengajar. Jadi kita sama-sama dapat manfaatkan ilmu yang ada. Lagipun saya takut tidak dapat beri komitmen," katanya.

Pa'din kini mengusahakan perniagaan mengubahsuai dan membina motosikal custom menerusi Abah & Sons di Kepala Batas sejak setahun lalu selepas dua tahun mencuba nasib dalam perniagaan yang sama di ibu negara.


KASUT signature colorway profesional atlet skateboard Malaysia, Pa'din Musa. FOTO Vans Malaysia

Sementara itu, Penolong Pengurus Bahagian Pemasaran Vans Malaysia, Munir Muhammad menyifatkan kolaborasi Pa'din bersama Vans dianggap paling tepat berdasarkan sumbangannya kepada sukan ini.

"Peluang sebegini memang susah nak dapat kerana Vans mempunyai pengalaman 51 tahun untuk colorway ini. Pa'din berhak kerana tiada siapa lagi yang kami boleh padankan.

"Selepas mendapat lampu hijau daripada Vans International, kami mulakan proses rekaan yang mengambil masa dua tahun kerana perincian untuk kasut istimewa ini perlu dibuat dengan teliti," katanya.


KEMAHIRAN Pa'din menghasilkan dua pingat emas di Sukan X Asia pada 2000 dan 2004. FOTO Mikail Ong

Munir berkata, pihaknya gembira kerana projek colorway Pa'din ini berjaya dihasilkan yang secara tidak langsung mampu menaikkan nama sukan ini di Malaysia.

Kasut signature colorway profesional Pa'din ini akan mula dijual pada 2 Disember ini dan menampilkan dua versi iaitu Old Skool dan Authentic, masing-masing dijual pada harga RM319 dan RM299 di 14 butik Vans seluruh negara dan beberapa kedai terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 8:00 PM
PA'DIN Musa menunjukkan kasut signature colorway profesional keluaran Vans. FOTO Mikail Ong