FARID mahu anak berjaya dalam pelajaran.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Biarpun dilihat lebih selesa berbicara mengenai karier seni, pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari, 36, tetap bersikap terbuka bercerita soal keluarga.

Apatah lagi membabitkah kisah dua cahaya matanya, Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2, hasil perkongsian hidup bersama pelakon Diana Danielle, 26.

Farid yang ditemui ketika sesi fotografi baru-baru ini mengakui kehidupannya sudah lengkap dengan kehadiran anak-anak.

Baginya, kehadiran mereka satu anugerah dan rahmat Tuhan dalam kehidupannya dan sangat bersyukur atas pemberian itu.

“Untuk saya sendiri, mendapat peluang melihat Muhammad dan Nur Aurora membesar depan mata adalah saat yang membahagiakan.

“Mereka menjadi semangat buat saya dan isteri untuk bekerja dengan lebih kuat,” katanya.

Mengenai pembabitannya dan Muhammad dalam satu iklan produk mandian, Farid anggap ia pendedahan awal buat anak lelakinya.

Katanya, iklan produk mandian itu adalah projek pertama Muhammad dalam bidang lakonan.

“Sebagai bapa, pada awalnya saya berasa gementar untuk bekerja dengan anak sendiri. Saya bimbang bolehkah Muhammad melakukannya?

“Saya tidak nafikan agak terkejut apabila Muhammad dapat melakukannya dengan baik sekali.

“Secara tidak langsung, kebimbangan saya terhadap kebolehan anak sendiri terlerai dengan hati yang tenang,” katanya.

Pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba ini berkata, apa yang dibimbangkannya harapan tinggi diletakkan pada Muhammad.

“Saya amat risau jika Muhammad gagal membuat yang terbaik. Apatah lagi dia memang tiada pengalaman. Apapun, saya gembira dan bersyukur sebaik melihat Muhammad melakonkan iklan itu dengan tenang dan lancar.

“Ia umpama satu kejutan buat saya. Ternyata Muhammad seorang yang komited dan dia juga cepat belajar,” katanya.

Walaupun memberi keizinan anaknya terbabit dalam dunia seni, Farid akui dia dan Diana tetap utamakan pelajaran.

“Saya mahu Muhammad berjaya dalam pelajaran. Bagi saya dan isteri, menimba ilmu itu perkara amat penting.

“Muhammad akan dipastikan berjaya dalam pelajarannya lebih dulu kerana ilmu adalah jaminan masa depan,” katanya.

Tegas Farid, dia juga akan pastikan anak-anak tidak terlepas melalui zaman kanak-kanak. Dia dan Diana mahu mereka melalui kehidupan normal dan membesar dengan baik.

Mengenai bakat Nur Aurora, Farid berkata anak perempuannya itu masih terlalu kecil untuk diberi peluang.

“Saya fikir buat Nur Aurora, ia sangat awal. Jadi, buat masa sekarang biarlah dia menjadi kanak-kanak yang riang.

“Namun apabila tiba masanya dan ada peluang buat Nur Aurora saya sedia mempertimbangkan,” katanya.

Farid berkata apa pun dia akan pastikan anaknya gembira dan seronok dengan apa saja aktiviti yang mereka lakukan.

Dia tidak akan sesekali memaksa anaknya melakukan perkara atau aktiviti yang tidak disukai mereka.

Gembira Dapat Penuhi Impian Bapa

Selain filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang ditayangkan di pawagam sejak 12 Oktober lalu, Farid juga akan muncul dengan satu lagi filem.

Jika tiada aral, Farid akan tampil dengan filem drama percintaan remaja, Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali pada 30 November ini.

Berganding dengan Shaheizy Sam dan Ayda Jebat dalam filem itu, Farid menggalas watak sebagai Dr Hasnan.

Kata Farid, dia teruja melakonkan karakter doktor itu yang cukup rapat dengan keluarganya.

“Watak Dr Hasnan itu sangat bermakna kerana akhirnya dapat juga penuhi impian bapa saya. Saya dilahirkan dalam keluarga yang mana bapa seorang doktor. Selain bapa, ada beberapa adik-beradik saya juga bekerja sebagai doktor.

“Malah, menjadi impian bapa saya untuk anak-anak mengikut jejaknya jadi doktor. Namun rezeki saya dan Fadzil nampaknya tidak mengikut jejak langkah bapa kami kerana terbabit dalam karier seni,” katanya.

Sehubungan itu, Farid berkata sebaik mendapat kepercayaan Osman untuk melakonkan watak Dr Hasnan, dia nekad akan melakukannya bersungguh-sungguh.

Katanya, dia sangat berpuas hati dapat melakonkan watak itu kerana dapat juga merasa menjadi doktor biarpun sekadar lakonan.

Mengakui watak itu satu cabaran buatnya, Farid berkata apa yang diharapnya kini semoga filem Pinjamkan Hatiku berjaya di pawagam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 6:35 AM