Zaharudin (kanan) menunjukan gambar pisau yang dirampas. (gambar kecil) Mohd Firdaus yang maut ditikam isterinya.
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


CEMBURU dan syak wasangka kerana suami tidak pulang selama dua hari dipercayai punca seorang suami berusia 28 tahun mati ditikam isteri dengan pisau pemotong sayur di rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar, Johor, 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, suspek yang berusia 17 tahun itu menghubungi majikan serta ibu bapa mangsa, sebelum bertemu suaminya itu di rumah yang dijadikan stor oleh majikan mangsa yang juga peniaga ayam di Pasar Awam Muar.

Katanya, berlaku pertengkaran antara mereka yang kemudiannya bertukar pergelutan sebelum suspek tertikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 21 sentimeter.

Menurut Zaharudin, siasatan awal mendapati suspek mengacukan sebilah pisau terhadap mangsa dipercayai hanya sebagai ugutan, malangnya berlakunya pergelutan antara mereka sehingga mangsa tertikam sekali di dada sebelah kanan.

“€œHasil siasatan terhadap suspek mendapati wanita berkenaan bertengkar dengan suaminya kerana cemburu dan syak wasangka apabila mangsa tidak pulang ke rumah selama dua hari.

“Suspek mengesyaki suaminya menyembunyikan sesuatu apabila tidak pulang ke rumah selama dua hari menyebabkan berlaku pertengkaran yang mengakibatkan pergelutan antara mereka.

“€œKetika polis tiba di lokasi selepas mendapat maklumat daripada orang awam, kami menemui mangsa terbaring di ruang tamu manakala isterinya berada dalam keadaan ketakutan dan menangis di kawasan berhampiran,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.

Menurut Zaharudin, suspek turut membawa polis ke longkang di tepi rumah berkenaan untuk mengambil pisau yang digunakannya bagi membantu siasatan.

Katanya, dalam masa sama, seorang saksi yang juga majikan mangsa turut berada di tempat kejadian dan polis sudah merekodkan percakapannya.

“Kami sudah menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek dan mendapati dia negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Malam semalam portal berita Harian Metro melaporkan seorang suami maut ditikam isterinya selepas berlaku pertengkaran di rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar.

Berita berkaitan:

Suami maut ditikam isteri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 4:47 PM