Amyra bertarung selama beberapa jam dalam bilik bersalin
Ramlah Zainal

Pelakon popular Amyra Rosli, 26, selamat melahirkan bayi lelaki secara normal di sebuah pusat perubatan Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Ibu Amyra yang juga pengurusnya, Noor Zaridah Ahmad berkata, dia gembira puterinya itu selamat melahirkan cucu sulung yang dinantikan keluarga kedua pihak.

“Alhamdulillah, selepas bertarung selama beberapa jam dalam bilik bersalin, Amyra selamat melahirkan bayi lelaki yang sihat dan cukup sifatnya.

“Cuma saya tidak pasti wajahnya seiras ibu atau bapanya lagi.

“Sebagai suami, Amar juga setia menemani Amyra sejak dia dimasukkan ke wad bersalin pada jam 3 pagi tadi sehinggalah selamat bersalin.

“Sebagai ibu, saya juga bersyukur kepada Allah kerana sepanjang tempoh hamil, Amyra tidak mengalami banyak masalah dan alahan sehinggalah bayinya dilahirkan,” katanya.

Menurut Noor Zaridah lagi, mengikut persetujuan bersama, Amar yang akan memberikan nama buat bayi itu nanti.

“Buat masa ini, Amyra masih lagi berehat di wad dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah beberapa hari lagi,” katanya.

Amyra dan pasangannya, pelakon Amar Baharin diijabkabulkan pada 11 November 2016 dalam majlis yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

ends

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 3:39 PM