MANGSA yang ditemui lemas selepas dihanyutkan air deras. FOTO ihsan Facebook Laporan Kemalangan Langkawi
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


KANAK-KANAK perempuan, 11, ditemui lemas sementara tiga lagi kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di kawasan air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihahknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 5 petang dan tiba di lokasi kejadian 16 minit kemudian.

Menurutnya, tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, operasi menyelamat dijalankan dan menemui seorang mangsa sementara tiga lagi masih belum ditemui selepas dihanyutkan air deras.

"Buat masa ini kerja-kerja mencari dan menyelamatkan mangsa masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:58 PM