Joy Revfa menangis pada sidang media. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Iskandar Shah Mohamed dan Michelle Gun
am@hmetro.com.my


“SAYA berlapang hati dengan perceraian ini kerana dia bukan suami yang baik dan gagal memberi nafkah batin,” kata usahawan produk kecantikan, Siti Arifah Amin, 30, atau dikenali Joy Revfa.

Dia mengulas tindakan penyanyi, Hafiz Hamidun, 33, yang memfailkan perceraian terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai perkara itu daripada media dan penyata saman baru diterima peguamnya, petang hari ini.

"Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa saya adalah isterinya berbanding dakwaan dia (Hafiz) yang meragui hubungan pernikahan kami sebelum ini.

“Saya tidak berniat membuka aib namun sebelum ini memang wujud istimtaq (hubungan suami isteri) antara kami," katanya pada sidang media di pejabat syarikatnya, Merve Cosmetic di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, dua peguamnya, Nur Hafiz Roslan dan Aznor Suhaida Dollah.

Kelmarin, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan perceraian talak satu antara Joy Revfa dengan bekas suaminya, Datuk Ray Imran atau Mohd Rayus Abdul Rahimadalah, 46, mengikut peruntukan Seksyen 57 Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003.

Hakim Syarie Mohd Suhal Mohd Najib memutuskan demikian selepas berpendapat lafaz dibuat Mohd Rayus menerusi perbualan telefon dengan Joy sudah jatuh talak satu rajie, kira-kira 9.30 malam, 12 Januari 2015.

Dakwa Joy, dia sudah berusaha untuk berdamai dengan Hafiz sejak Mei lalu, namun tidak diendahkan.

“Sebagai isteri, sudah tentu saya mahu berdamai dengan suami dan sudah banyak kali menghubungi dia untuk menyelesaikan masalah kami.

"Namun, saya kesal apabila dia enggan bersemuka, malah, tidak dilayan," katanya.

Menurutnya, dia turut bercadang menyaman beberapa blog yang menyiarkan berita membabitkan permohonan cerai taklik dilakukannya Julai lalu.

“Setahu saya, hanya tiga pihak tahu mengenai permohonan itu. Blog berkenaan yang menyebabkan netizen mencaci saya pelacur dan anak kandung," katanya mengharapkan netizan tidak lagi mengeluarkan kenyataan negatif kepada dirinya.

Konflik antara Joy dan Hafiz terdedah selepas mereka didakwa tidak tinggal sebumbung dan 'bergaduh' dengan saling berbalas komen di Instagram masing-masing sejak Ogos lalu.

Pasangan yang bernikah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Mei lalu itu turut didakwa tidak pernah dilihat bersama dalam sebarang majlis.

Didorong dengan tindakan Hafiz yang meragui pernikahan mereka, Joy memfailkan permohonan faraq di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari pada pertengahan Ogos.

Isu timbul apabila bekas suami Joy, Ray Imran tidak mengemukakan sijil cerai dari pejabat agama Islam di Songkhla, Thailand.

Ray mengemukakan surat pengakuan menyatakan dia sudah bercerai dengan wanita itu pada 2015 kepada Pejabat Agama Islam Daerah Petaling yang kemudian membenarkan pernikahan pasangan kontroversi berkenaan tanpa prejudis.

Namun, sijil nikah tidak dikeluarkan selagi tiada surat cerai dari Songkhla dan atas nasihat pejabat agama di situ, Joy kemudian mendaftarkan permohonan cerai taklik.

Hujung bulan lalu, pernikahan Ray Imran dan Joy pada 10 Januari 2013 turut disahkan mengikut hukum syarak oleh Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Salehan Yatim.

Berita berkaitan

Hafiz cerai Joy Revfa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:41 PM