ZAITON melihat kaki kanan suaminya Mazni yang dipotong akibat penyakit kencing manis.
Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my


Tangkak: Meskipun dia sendiri menghidap sakit tulang belakang (slipped disc) sejak tujuh tahun lalu, Zaiton Hashim, 56, terus cekal menguruskan suaminya, Maznin Monir, 57, yang menghidap kencing manis dan kanser paru-paru tahap empat sejak beberapa bulan lalu.

Menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan pada masa sama menjadi tulang belakang keluarga memang cukup berat, tetapi kasih terhadap suaminya menjadikan ibu kepada tiga cahaya mata itu terus kuat menempuh ujian hidup.

“Kehidupan kami sekeluarga bertambah sukar apabila suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak lagi dibenarkan bekerja selepas kaki kanannya dipotong awal tahun lalu.

“Sebelum ini, dia mengambil upah menoreh getah selepas pulang bekerja, tetapi apabila kakinya dipotong, dia tidak dapat melakukannya,” katanya yang tinggal di Kampung Sawah Ring.

Sejak itu, Zaiton mengambil alih tanggungjawab menguruskan keluarga, namun dia juga tidak mampu bekerja kerana keadaan kesihatannya.

Sekali lagi dia diuji apabila mendapat tahu suami disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

“Kini saya terpaksa mengharapkan pendapatan anak bongsu untuk meneruskan kehidupan. Anak sulung lelaki berusia 35 tahun dikategorikan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Sebagai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zaiton berkata, bantuan yang diterima termasuk daripada Baitulmal berjumlah RM300 sebulan digunakan untuk membeli keperluan lampin pakai buang dan susu khas untuk dia serta suami.

Terdahulu, pasangan itu menerima kunjungan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) diketuai Ketua Skuad Johor Shaziah Ismail.

Shaziah berkata, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Zaiton Hashim di nombor akaun 01159-410-00-621-72.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:34 AM