NORHAYATI dan Abd Rashid menunjukkan surat terakhir yang diberikan Amiel Asyraaf sehari sebelum kejadian. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


“Ya Allah, umpama satu bebanan yang berat terlepas daripada bahu saya sebaik saja tahu mereka sudah ditahan.”

Demikian kata Norhayati Khalid, 42, ibu kepada mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Allahyarham Amiel Asyraaf Abd Rashid, 11, mengenai penahanan tujuh suspek.

"Sebelum ini macam satu beban yang berat terpaksa saya tanggung. Jadi satu kelegaan (apabila suspek ditahan). Saya berdoa Allah SWT permudahkan segala urusan daripada awal sehingga pengebumian.

"Saya berdoa ingin tahu siapa yang mungkin aniaya anak-anak tahfiz. Saya terfikir, kenapa orang buat macam ini sehingga dua hari saya tidak tidur dan tidak lalu makan," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, kelmarin.

Amiel Asyraaf antara 21 pelajar dan dua warden yang terkorban dalam kejadian menyayat hati itu dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, KL-Karak, Jumaat lalu.

Allahyarham juga sempat menulis warkah pilu yang diberikan kepada ibunya sehari sebelum kejadian dan tulisan itu cukup meruntun hati sesiapa saja yang membacanya.

"Kebiasaannya selepas saya bertemu arwah, saya akan salam, peluk dan cium, kemudian dia akan tunggu sehingga saya hilang daripada pandangan barulah dia naik ke asrama.

"Tetapi selepas dia memberikan surat itu kepada saya, dia terus berpaling pergi manakala saya pula membaca surat berkenaan dalam perjalanan bertemu suami saya yang menunggu di taman," katanya.

Pada keesokan hari iaitu pada hari kejadian, dia teringat kembali surat itu yang disimpan dalam beg duit selepas ditanya wartawan Harian Metro, Nabihah Kamal.

Norhayati bagaimanapun tidak menyimpan dendam kepada sesiapa kerana reda dengan pemergian anak bongsu daripada empat beradik itu.

Dalam masa sama, dia mendoakan agar mereka diberi hidayah oleh Allah SWT.

Sementara itu, suaminya, Abd Rashid Ramli, 47, juga tidak menyimpan dendam kepada mana-mana individu yang mungkin menyebabkan kematian anaknya.

"Saya tidak rasa dendam. Bukan saya tak sayang tetapi saya dah reda. Bukan nak kata biarkan... cuma saya tiada rasa dendam.

"Kira macam maaf.. saya cuma terfikir, apa yang mereka (suspek) fikir. Tergamak dan sedikit pun tidak terdetik dalam fikiran apa kesannya sebelum melakukan perkara itu (membakar)," katanya yang menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Kerani di firma guaman itu berkata, kehilangan anaknya itu sangat dirasai apatah lagi apabila teringat kembali perbualan mereka mengenai syurga, baru-baru ini.

"Masa itu di dalam kereta, kami mahu pergi makan untuk meraikan hari lahirnya pada 23 Ogos dan dia bertanya kepada saya, 'Ayah, macam mana orang yang tinggal di syurga?'

"Saya jawab yang di syuga nanti seronok, Amiel nak makan apa seperti buah kurma cakap saja. Termasuk 'ice blended' kegemaran Amiel," katanya yang mengakui ia mungkin petanda akan kehilangan anak kesayangannya itu.

Katanya, pemergian allahyarham yang disifatkan sebagai ceria, rajin dan menghormati orang tua itu bukan saja ditangisi mereka sekeluarga tetapi juga penduduk sekitar tempat tinggal mereka.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 10:11 PM