DAYANG tak setuju jika lagu baru penyanyi senior dapat kelebihan.

Jika sebelum ini penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza membuat sendiri permintaan kepada stesen radio Era FM agar memainkan lagu nyanyiannya berjudul Segala Perasaan, berbeza pula dengan Dayang Nurfaizah.

Menurut penyanyi lagu Lelaki Teragung ini, dia mengambil pendekatan giat mempromosikan single terbarunya Separuh Mati Ku Bercinta di laman sosial.

“Saya faham dilema dilalui setiap penyanyi yang muncul dengan lagu baru. Sama seperti penyanyi lain, saya juga tidak berputus asa dan sentiasa berusaha mempromosikan lagu.

“Cuma pendekatan yang diambil kebanyakan stesen radio sekarang berbeza dengan dahulu terutama membabitkan penyiaran lagu baru. Malah setiap stesen radio juga mempunyai sistem tersendiri.

“Saya tak ada hak untuk menidakkan sistem mereka. Mungkin ini pendekatan terbaru yang setiap lagu baru perlu melalui beberapa peringkat. Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mempromosikan lagu.

“Satu daripadanya adalah menggunakan laman sosial,” katanya.

Dayang berkata, jika aktiviti mempromosikan sesebuah lagu dibuat berterusan dia percaya tidak mustahil stesen radio akan memandang usaha itu.

Menurut Dayang juga, tidak mustahil dengan cara itu lagu seseorang penyanyi berjaya menarik perhatian peminat.

Pada masa sama, Dayang tidak bersetuju sekiranya lagu baru daripada penyanyi senior mendapat kelebihan dimainkan di stesen radio tanpa melalui beberapa peringkat yang ditetapkan.

“Saya gembira jika ada kelebihan itu. Bukan saja saya, malah penyanyi senior lain tidak perlu risau. Jaminan untuk lagu dimainkan di stesen radio sudah pasti.

“Namun, saya berpendapat cara seperti itu tidak adil buat penyanyi baru. Bagi saya penyanyi senior atau junior, lagu yang dipromosikan itu tetap dianggap lagu baru.

“Tinggal lagi cara untuk memastikan lagu itu diterima baik. Orang kata, siapa berusaha lebih dia pasti memperoleh hasilnya,” katanya.

Rasa gementar berbeza

Berkongsi mengenai persembahannya yang menyanyikan lagu tema sukan SEA KL 2017 pada acara pembukaan temasya dwitahunan itu Sabtu lalu, Dayang mengakui gementar.

“Ketika di belakang pentas, saya rasa sangat gementar. Diakui perasaan itu berbeza daripada beraksi di pentas pertandingan. Mungkin disebabkan suasana pada malam itu yang dibanjiri puluhan ribu penonton.

“Apatah lagi itu kali pertama saya membuat persembahan di stadium terbuka dan membawa nama negara. Daripada gementar ia bertukar lebih bersemangat selepas kontinjen Malaysia berarak masuk.

“Sorakan rakyat Malaysia sedikit sebanyak mengurangkan rasa gementar itu. Apabila mula menyanyi, saya sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Dalam fikiran saya ketika itu adalah tak nak malukan negara. Alhamdulillah, saya berjaya menyampaikan lagu itu dengan baik,” katanya.

Perkembangan lain, Dayang bakal menggegarkan pentas berprestij, Esplanade di Singapura menerusi konsert sulungnya di negara itu pada 1 Januari depan.

Menerusi konsert itu, Dayang bakal mempersembahkan lagu popular yang pernah menjadi siulan peminat serta menjuarai carta tempatan dan luar negara seperti Di Pintu Syurga serta Seandainya Masih Ada Cinta.

Persembahan yang dikelaskan bertaraf antarabangsa itu bakal mendapat sentuhan pengarah muzik terkemuka, Jenny Chin.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu boleh didapati secara online di www.esplanade.com/dayang pada harga RM79 sehingga RM205.

Difahamkan tiket yang mula dijual sejak 11 Ogos lalu mendapat sambutan hangat daripada peminatnya di Malaysia dan Singapura. -Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 5:11 AM