KHOO memerhati kura-kura berasal dari Afrika dan India yang dibawa bersiar-siar.
GONG, Xi, Fa dan Chai dibiarkan bebas menikmati suasana petang.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Gelagat empat kura-kura yang dinamakan Gong, Xi, Fa dan Chai dibiarkan bebas berkeliaran di laluan pejalan kaki di tebing Sungai Melaka di Kampung Jawa menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong yang melintasi kawasan itu.

Kebiasaannya kura-kura akan rasa terancam dan cuba lari jika dikelilingi manusia, namun haiwan eksotik dipelihara bekas tukang emas itu yang mahu dikenali sebagai Khoo, 62, memberi reaksi sebaliknya.

Setiap petang Khoo akan membawa keempat-empat kura-kura kesayangannya itu bersiar-siar sepanjang laluan pejalan kaki hingga menarik perhatian orang ramai.

Khoo akan melepaskan kura-kura berkenaan di laluan pejalan kaki sambil memberi makan sayur-sayuran atau daun hijau seperti pucuk ubi dan kacang panjang yang dibawa bersama dari rumah.

Paling menarik perhatian adalah kura-kura diberi nama Gong berikutan haiwan itu mempunyai bentuk cengkerang kecil dengan berat hanya 600 gram walaupun sudah berusia 13 tahun.

Reptilia itu amat ringan berbanding Chai yang kini seberat lima kilogram (kg) meskipun baru berusia tiga tahun setengah.

Menurut Khoo, minatnya untuk membela kura-kura berlaku secara tidak sengaja selepas anaknya membeli Gong dan sejak itu, dia mula berasa sayang kepada reptilia terbabit.

Katanya, nama Gong, Xi, Fa dan Chai dipilih kerana mahu dirinya dan keluarga dilimpahkan kekayaan sama seperti maksud ucapan Gong Xi Fa Chai sempena Tahun Baru Cina.

“Xi baru berusia tiga tahun setengah, Fa satu tahun setengah dan Chai adalah spesies kura-kura Afrika manakala Gong pula berasal dari India.

“Bagi saya, kura-kura juga seperti haiwan peliharaan lain, malah kesemuanya dibiarkan bebas bergerak di dalam rumah, bukan dikurung dalam akuarium,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Dia berkata, reptilia itu tidak sepatutnya dikurung sepanjang masa di dalam akuarium sebaliknya perlu dibawa bersiar-siar bagi mendapatkan udara segar setiap hari.

“Saya beri perhatian penuh pada Gong, Xi, Fa dan Chai. Setiap petang, saya tidak pernah ketinggalan membawa empat reptilia terbabit bersiar-siar di tebing Sungai Melaka.

“Amalan ini saya mulakan sejak setahun lalu kerana mahu mendedahkan reptilia ini dengan dunia luar. Memang teruja apabila kehadiran Gong, Xi, Fa dan Chai menarik perhatian orang ramai,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia juga tidak kisah jika ada pelancong yang menghampirinya dan meminta izin untuk bergambar atau bersama-sama memberi makan kepada reptilia peliharaannya itu.

“Bila hari semakin gelap, saya akan memasukkan semua empat reptilia itu ke dalam bakul plastik yang diletakkan atas troli dan kemudian disorong untuk pulang ke rumah.

“Kesemua reptilia ini dijaga dengan baik malah saya memiliki lesen sah untuk membela Gong, Xi, Fa dan Chai kerana kura-kura ini adalah daripada spesies terpelihara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:30 AM