ALI (kiri) dan Ain taruhan emas skuad Muay negara.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Semuanya berjalan lancar buat skuad Muay negara untuk menggegarkan Dewan 8 MiTEC menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan sekarang ini semua mereka sedang berusaha keras untuk memantapkan diri dari segi kecergasan serta strategi di dalam gelanggang.

Ia diakui sendiri jurulatih Muay negara, Bernard Radin apabila semua mereka menjalani kem latihan fasa terakhir di Bangkok dan hanya pulang ke tanah air pada 23 Ogos ini, tiga hari sebelum acara itu membuka tirai.

“Sekarang saya sangat berpuas hati dengan persiapan mereka dan ia memang satu langkah yang tepat untuk mengadakan latihan di sini kerana ramai ‘rakan sparring’ berkualiti kerana seperti sedia maklum Thailand sangat sinonim dengan sukan ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bernard yang pernah beraksi untuk kontinjen negara di Sukan SEA 2001 dalam acara wusyu, mengaku bahawa latihan di Bangkok juga membolehkan anak buahnya memberikan fokus 100 peratus tanpa sebarang gangguan termasuk dari pihak media.

“Saya mahu mereka merasai betul-betul bahang Sukan SEA dan apabila semuanya sudah bersedia pada saat akhir barulah kita kembali ke Malaysia dan terus masuk bertarung.

“Latihan di sini juga sangat mementingkan disiplin, di mana saya tidak mahu mereka leka dengan pelbagai urusan dan aktiviti lain. Saya tidak membenarkan mereka menonton televisyen kerana tidak mahu fokus mereka terganggu,” katanya.

Jurulatih berusia 45 tahun itu juga kekal dengan sasaran meraih dua emas daripada lima yang dipertandingkan dalam acara ini sekali gus mengulangi pencapaian 2013 di Myanmar.

Dua atlet Muay negara yang dipertaruhkan untuk meraih emas ialah Ali Yaakob yang bertanding dalam kategori 54 kilogram (kg) dan juga Ain Kamaruddin 57kg.

“Pencabar kita dalam acara ini sudah pasti dari Thailand, manakala dua lagi negara Vietnam dan Filipina juga harus diberi perhatian. Buat masa sekarang kita tidak mendapat sebarang maklumat mengenai atlet dari Laos, tapi kita akan tetap berhati-hati dengan cabaran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:38 AM