NAMUN tidak mahu meniru gaya, identiti pelakon itu.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Setiap penggiat seni mempunyai idola yang tidak dinafikan sedikit sebanyak akan mempengaruhi mereka sama ada dalam sedar atau tidak.

Bagaimanapun, pelakon Eyka Farhana mengakui pernah menjadikan pelakon Fazura sebagai idolanya tetapi ada pihak berasa kurang senang dengan pilihannya.

Malah, dia turut diingatkan bakal berhadapan masalah jika menjadikan Fazura sebagai idolanya. Tambah pula apabila sebelum ini ada yang mengatakan wajahnya mirip pelakon popular dan jelita itu.

Katanya, pihak berkenaan menyatakan jika menjadikan Fazura sebagai idola akan membuatkan dirinya terikut-ikut gaya lakonan Fazura dan menyebabkan dia dikatakan tidak mempunyai identiti sendiri.

“Hakikatnya, saya tidak pernah terfikir akan disamakan dengan Fazura. Tapi kenyataan pihak terbabit membuatkan saya berasa bimbang terutama pandangan pihak tertentu terhadap kerjaya seni saya pada masa akan datang.

“Sudah tentu saya tidak mahu timbul masalah pada kemudian hari. Tambah pula sebagai penggiat seni, saya cuba mengetengahkan bakat yang ada dengan cara sendiri,” katanya.

Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi drama Sejadah Kaabah itu berkata, minat terhadap Fazura bukan setakat membabitkan lakonan semata-mata tetapi juga beberapa elemen lain.

“Selain berbakat, Fazura juga memiliki ciri-ciri seorang primadona. Dia bukan saja cantik, bijak pula. Saya suka melihat penampilannya di khalayak umum dan apabila berhadapan dengan media.

“Banyak sikap bagus yang ada pada dirinya yang boleh kita jadikan contoh. Meminati bukan bermakna kita mahu terikut-ikut atau menjadi seperti orang yang kita minat, sebaliknya ada perkara yang positif yang ditampilkan idola kita boleh jadikan contoh untuk kita amalkan,” katanya.

Eyka juga akui sangat menghormati usaha dilakukan Fazura yang menggunakan platfom sebagai artis untuk menyebarkan sifat dan semangat positif terutama kepada wanita muda.

“Perkara itu dilakukan menerusi kebanyakan lagu yang didendangkan dan usahanya untuk menggalakkan semangat positif membuatkan saya memandang tinggi padanya.

“Kalau saya mengikut sifatnya untuk menyebarkan semangat positif itu, bukankah ia sesuatu yang baik dan saya rasa tidak salah kalau saya tiru,” katanya.

Bagaimanapun, membabitkan lakonan pula dia percaya setiap orang boleh mendapatkan ilmu daripada orang berpengalaman tetapi untuk melaksanakannya sudah tentu seseorang pelakon itu harus mempertaruhkan bakatnya sendiri.

“Kalau kita meniru lakonan seseorang ia pasti tidak menjadi kerana ia tidak datang daripada pemahaman dan dalam hati seorang pelakon.

“Meniru lakonan pelakon lain akan mengakibatkan persembahan menjadi kaku dan salah interpretasi,” katanya.

Senang berkawan lelaki berusia

Soalan cinta dan teman lelaki tidak dapat dielakkan bagi gadis muda apatah lagi yang memiliki wajah jelita seperti Eyka Farhana.

Bagaimanapun, pelakon Juvana ini dilihat rapat dengan seorang jejaka yang jauh lebih berusia berbanding dirinya. Hubungan terjalin di antara Eyka dan jejaka itu dikatakan berlangsung agak lama, cuma ia tidak pernah diceritakan secara terbuka kepada umum.

Ditanya mengenai sejauh mana pengesahan cerita yang didengar membabitkan hubungan cintanya dengan jejaka diperkatakan itu, Eyka tegaskan selagi belum ada perkara yang sahih antara mereka, dia tidak mahu membuka mulut.

“Cukuplah kalau saya katakan, saya senang berkawan dengannya seperti mana juga saya berkawan dengan rakan-rakan yang lain. Bagaimanapun untuk mengatakan dan mengesahkan ‘benar kami bercinta’ saya tidak berani.

“Pada saya soal cinta dan hubungan ini hanya boleh diperkatakan andai ada ikatan seperti pasangan itu sudah bertunang dan mahu bernikah.

“Selagi perkara nyata seperti itu tidak berlaku terhadap saya dan dia, saya tidak mahu bercakap mengenainya.

“Tambah pula sebagai orang perempuan, rasanya kurang manis untuk saya menjaja mengenai hubungan cinta. Saya takut kalau hari ini saya pukul canang dan kelak tidak ada jodoh antara kami, kelak saya yang dikecam,” katanya.

Bagi Eyka, dalam usia masih muda dan kerjaya seni baru hendak berkembang, dia tidak mahu lagi memikirkan soal cinta serta perkahwinan. Kecuali andai jodohnya sudah ditetapkan.

“Bagilah saya ruang dan peluang untuk membina kerjaya. Saya mahu berjaya sebagai pelakon dan mahu peminat menghargai bakat yang saya pertaruhkan.

“Sebagai pelakon sudah tentu saya mempunyai impian tersendiri. Saya mengejar untuk menjadi pelakon terbaik dan untuk mendapatkannya perjalanan saya masih jauh. Banyak lagi perlu saya pelajari dan menggali ilmu.

“Lagipun saya berlakon untuk membantu keluarga. Jadi saya mahu membina hidup dan kerjaya. Selepas berjaya memperoleh apa yang saya cari, barulah saya mahu memikirkan soal cinta dan rumah tangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:07 AM