FOTO Ihsan Amirul Ariffin Ahmad Aminuddin
Hazril Md Nor
am@hmetro.com.my


"SAYA dan kawan tak berganjak dari tempat kami menunggu. Nyata berbaloi kerana dapat cuba ‘video game’ baru yang dinantikan selama ini.”

Itu kata Amirul Ariffin Ahmad Aminuddin, 23, yang sanggup menunggu dari kira-kira 5 pagi, dan menjadi ‘gamer’ terawal untuk menyaksikan pertunjukkan ‘video game’ PS4 dan PS VR di acara #psx17sea atau PlayStation Experience 2017 SEA.

Acara itu diadakan di bangunan KL Live, hari ini.

Menurutnya, dia bersama tiga lagi rakannya datang dari Segambut, dan perlu menunggu hampir kira-kira lima jam sebelum dapat masuk ke KL Live itu.


AMIRUL Ariffin Ahmad Aminuddin bersama rakannya. IHSAN Amirul Ariffin Ahmad Aminuddin.

"Saya sudah sedia maklum acara ini pasti ramai orang kerana ia yang pertama kali diadakan di Malaysia.

“Malah, ada yang mengatakan mereka beratur dari arah Bukit Bintang. Memang ramai.

"Dekat sini ada demo game baru di konsol Playstation 4 seperti Far Cry 5 dan Detroit: Become Human.

“Tapi yang paling menariknya ialah pembangun dari Jepun, Capcom yang turun padang untuk ke acara ini. Pastinya saya tak mahu lepas peluang," katanya.

PlayStation Experience 2017 South East Asia julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Selain demo permainan video, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat terkini dari lima pembangun game terkemuka antaranya Capcom dan nama terkenal iaitu Wan Hazmer (Final Fantasy XV).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 1:46 PM